Ducati Multistrada 1260 2018 Diperkenalkan – Model S Dan Pikes Peak Turut Disertakan

 

  • Ahli keluarga Multistrada terbaru telah pun diperkenalkan dalam bentuk motosikal Ducati Multistrada 1260 2018.
  • Terdapat tiga buah model yang berbeza telah disediakan, Multistrada 1260, Multistrada 1260 S, dan Multistrada 1260 S Pikes Peak.
  • Enjin 1,262cc Testastretta DVT yang kini patuh Euro-4 diambil daripada motosikal XDiavel dapat menjana sehingga 158hp pada 9,750rpm dan 130Nm tork maksima pada 7,500rpm.

 

Untuk tahun 2018, Ducati telah berjaya memperkasakan lagi platform yang amat diminati ramai, iaitu motosikal Multistrada. Memperkenalkan, motosikal Ducati Multistrada 1260 2018 yang serba baru. Tambahan terkini dalam rangkaian keluarga motosikal Multistrada ini didatangkan dalam tiga versi yang berbeza; Standard, S, dan Pikes Peak.

Pengemaskinian yang terbesar pada motosikal Multistrada 1260 2018 ini sudah pasti adalah enjin 1,262cc, Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing), L-berkembar, empat injap dorongan secara Desmodromik untuk setiap silinder, sejukan cecair yang hanya boleh didapati pada motosikal super cruiser XDiavel sebelum ini.

Penjana kuasanya yang kini patuh Euro-4 dapat menghasilkan sehingga 158hp pada 9,750rpm dan 130Nm tork maksima pada 7,500rpm. Enjin 1,262cc ini bagaimana pun telah ditala bagi memastikan sebahagian besar kuasa dan daya kilasnya dapat dicapai serendah 3,500rpm (secara tepat, sebanyak 85%). Ini bermakna yang motosikal Multistrada yang baru ini adalah jentera yang lebih baik lagi untuk kegunaan tunggangan harian kerana ia mampu menggunakan hampir keseluruhan kuasanya pada tahap rendah dan pertengahan jangkauan RPM.

Ducati mampu melakukannya atas jasa ‘header‘ ekzos, peredam, dan sistem masukan udara yang serba baru pada motosikal Multistrada 1260 2018 ini. Pengemaskinian yang terbaru ini juga bermakna yang casis keluli trellisnya itu perlu direka semula untuk bukan sahaja merumahkan penjana kuasanya yang baru, tetapi juga bagi menawarkan peningkatan keseluruhan dalam kestabilan menunggang.

Bercakap mengenai peningkatan kebolehtunggangannya itu, Ducati juga turut menawarkan Ducati Quick Shifter (DQS) untuk pertukaran gear tanpa klac. Ciri ini ditawarkan sebagai kelengkapan standard pada model S dan Pikes Peak. Satu lagi perincian elektronik adalah sistem “Ride-by-Wire” yang baru bagi membekalkan tindak balas pendikit dan agihan kuasa yang lebih baik yang boleh dianggap sebagai satu bonus memandangkan Multistrada terbaru ini mempunyai jarak antara roda dan lengan ayun yang lebih panjang bagi memudahkannya menangani selekoh walaupun dengan adanya pembonceng.

Ciri-ciri yang lain termasuk Cornering ABS, Ducati Cornering Lights (DCL) yang diterapkan bersama lampu hadapan LED sepenuhnya (disedian pada Multistrada 1260 S), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Traction Control (DTC), Vehicle Hold Control (VHC), Ducati Skyhook Suspension (DSS) Evolution separa aktif, dan pelbagai lagi.

Sistem DSS terkini yang dilengkapkan pada motosikal Ducati Multistrada 1260 S 2018 ini dipertingkatkan lagi dengan fork kartrij peredam bertekanan serba baru Sachs yang dikawal secara elektronik berdasarkan pada maklumat yang dikutip oleh sistem IMU Bosch. Ini juga bermakna yang fork hadapan 48mm barunya dan penyerap hentakan belakangnya dikawal secara elektronik bagi memastikan kestabilan optimum dengan senantiasa melaraskan jumlah mampatan dan lantunan.

Namun, di sebalik segala pengemaskinian terbaru ini, berita terbaik yang dibawa oleh motosikal Multistrada 1260 terbaru ini adalah ianya mempunyai jarak antara penyelenggaraan yang lebih panjang. Bakal pemiliknya tidak perlu risau kerana ia hanya perlu menukar minyak setiap 15,000km manakala penyelenggaraan Desmo-nya pula perlu dilakukan setiap 30,000km.

Kami akan sampaikan perkembangan terkini mengenai harganya sebaik sahaja ianya disahkan oleh Ducati. Untuk sementara waktu, nikmatilah gambar-gambar serta videonya.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.