Ducati Monster 821 2018 Diperkenalkan – Kini Dengan Paparan TFT!

  • Ducati baru sahaja memperkenalkan motosikal Ducati Monster 821 2018 yang terbaru daripada pengeluar itu sebagai satu pratonton buat semua penggemar Ducati.
  • Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 model berkenaan, motosikal 821 yang baru ini diinspirasikan oleh motosikal Monster 900 yang pertama sekali serta oleh motosikal yang amat berkuasa, Monster 1200.
  • Motosikal Monster 821 2018 yang baru ini bercirikan paparan TFT dan ‘Ducati Safety Pack’ yang mengandungi ABS Bosch, ‘Ducati Traction Control’, dan Mod Penunggangan yang boleh dipilih.


Model yang pertama daripada lima model baru keluaran Ducati untuk 2018 telah pun diperkenalkan, tuan-tuan dan puan-puan. Pengeluar tersohor dari Itali yang bertapak di Borgo Panigale telah memperkenalkan motosikal Ducati Monster 821 2018 yang terbaru daripada mereka bersempena dengan ulang tahun ke-25 model berkenaan.

Ducati Monster 900 1992

Motosikal Monster 821 yang telah diperkemaskini ini diilhamkan oleh motosikal Monster 900 keluaran pertama Ducati yang telah diperkenalkan pada tahun 1992. Model yang terbaru ini menjanjikan prestasi yang dipertingkatkan, kelincahan penunggangan serta pengalaman yang menyeluruh buat mana-mana penunggang dalam segmen motosikal naked berprestasi tinggi.

Inspirasinya juga telah diambil daripada motosikal Monster yang paling berkuasa sekali; motosikal Monster 1200. Bentuk keseluruhannya, rekaannya dan ciri-ciri menarik yang lain telah diterapkan pada motosikal 821 ini yang menjadikan motosikal Monster yang baru ini kelihatan amat kemas dan juga garang pada masa yang sama. Ciri-ciri yang terbarunya juga termasuk sebuah peredam diilhamkan daripada perlumbaan serba baru dan rekaan lampu hadapan.

Memandang jauh ke hadapan, motosikal Monster 821 2018 ini kini dilengkapkan dengan paparan TFT yang futuristik yang akan memaparkan segala maklumat yang penting termasuklah penunjuk gear dan tahap bahanapi. Bagi mereka yang ingin meningkatkan lagi tahap motosikal Monster 821 20198 mereka bolehlah memilih untuk melengkapkannya dengan ‘Ducati Quick Shift up/down’ dan Sistem Multimedia Ducati yang kini boleh didapati sebagai kelengkapan tambahan untuk motosikal Monster terbaru ini.

Enjin Testastretta sejukan cecair dwi silinder itu telah diperhalusi lagi bagi menawarkan prestasi keseluruhan serta kemesraan pengguna yang lebih baik buat ke semua penunggang tidak kira yang baru mahu pun yang berpengalaman. Menghasilkan sejumlah 109hp pada tahap 9,250rpm dan 86Nm tork maksima pada 7,750rpm, motosikal 821 yang baru ini menawarkan keseronokan yang tidak terhingga.

Mempertingkatkan lagi pakej keseluruhannya, tawaran terbaru dalam keluarga Monster ini bercirikan beberapa kelengkapan ‘Ducati Safety Pack’ seperti ABS Bosch, Ducati Traction Control, dan Mod Penunggangan. Dengan sentuhan satu butang, motosikal 821 ini memberikan tiga pengalaman menunggang yang berlainan bagi memastikan yang tunggangan anda sentiasa selamat serta menyeronokkan.

Motosikal Ducati Monster 821 2018 akan boleh didapati dalam tiga kemasan warna yang berbeza; Matte Black, Red, dan warna Ducati Yellow yang ikonik yang hanya boleh didapati pada motosikal 821 ini.

Ducati akan terus memperkenalkan rangkaian terbaru tahun 2018 semasa Pertunjukan Motosikal Milan, EICMA tahun ini yang akan kunjung tiba pada bulan November nanti. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Ducati Monster 821 2018 ini, TEKAN SINI.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]