Triumph Motorcycles Akan Membuka Pusat Visitor Experience Serta Lawatan Kilang

 

  • Triumph Motorcycles akan melancarkan pusat Visitor Experience istimewa milik mereka sendiri pada 1 November 2017 yang akan datang.
  • Terletak di dalam kilang Hinckley milik Triumph di Leicestershire, England, pelawat akan dapat menikmati pengalaman di kilang itu sendiri melalui satu lawatan yang dikawal selia oleh Triumph.
  • Lawatan Visitor Experience adalah percuma tetapi sekiranya anda berminat untuk mengikuti lawatan kilang selama 90 minit, anda boleh menempah slot anda dengan hanya £15 (kira-kira RM83.80).


Triumph Motorcycles telah mengumumkan bahawa mereka akan membuka satu hab Visitor Experience yang amat istimewa pada 1 November 2017 yang akan membolehkan para peminat Triumph serta penggemar permotoran yang lain untuk melihat di sebalik tabir pengeluar motosikal kesayangan mereka itu.

Terletak di dalam kilang Hinckley milik Triumph di Leicestershire, England, para pengunjung juga akan dapat menikmati pengalaman di kilang itu sendiri melalui satu lawatan yang dianjurkan oleh Triumph. Ini akan memberikan peluang buat para peminat untuk melihat dengan sendiri ke semua proses penghasilan dan pengeluarannya.

Triumph Motorcycles telah mengambil kira setiap aspek bagi mempertingkatkan lagi pengalaman Visitor Experience ini, sebaik sahaja anda memasuki kawasan parkirnya. Avenue of Legends menanti anda sebelum anda memasuki tapak kilang di mana anda dapat melihat setiap detik-detik terhebat serta ke semua legenda Triumph tersergam indah menyambut ketibaan anda.

Sebaik sahaja anda memasukinya, anda akan dapat menikmati sendiri keseluruhan 115 tahun warisan Triumph, di mana anda akan dapat melihat motosikal Triumph yang terdahulu bermula dari model tahun 1902 mereka yang pertama sehinggalah ke jentera perlumbaan mereka, ‘streamliners‘ yang memegang rekod dunia, malah, motosikal yang digunakan oleh legenda seperti bintang filem, Steve McQueen, dalam filem The Great Escape.

Terdapat juga sebuah motosikal Street Triple yang telah digunakan oleh Tom Cruise sendiri dalam filem Mission Impossible 2, terletak di ruangan Ikonik di pusat Visitor Experience Triumph berkenaan. Jika itu tidak cukup mengujakan anda, terdapat juga sebuah enjin prototaip 765cc Moto2 yang dipamerkan dan telah disahkan akan digunakan dalam kejohanan dunia Moto2 2019.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai enjin Triumph ini yang akan dimasukkan dalam kejohanan dunia Moto2 2019, TEKAN SINI.

Menurut Paul Stroud, Ketua Pegawai Komersial, Triumph Motorcycles, “Dengan begitu banyak motosikal yang penting dan juga jentera perlumbaan yang dipamerkan, Visitor Experience ini adalah sesuatu yang perlu dinikmati oleh setiap peminat motosikal dan juga penggemar filem, dan ia juga adalah satu peluang untuk kami meraikan warisan kami yang amat membanggakan serta keghairahan kami dalam membina motosikal yang hebat. Kami berharap ianya akan menggalakkan dan memberi ilham buat semua peminat jenama ini, dan menyemarakkan cinta untuk jenama Triumph bagi keseluruhan generasi yang baru.

Secara keseluruhannya, terdapat lapan buah seksyen yang berlainan di pusat Visitor Experience ini bermula dengan Bloodline di mana anda akan dapat menjumpai ke semua motosikal yang telah kami nyatakan, legenda, dan perintis di sepanjang sejarah gemilang Triumph Motorcycles.

Jika anda seorang penggemar perlumbaan, kunjungilah seksyen Performance di mana segala-galanya yang berkaitan dengan keperluan kelajuan Triumph telah diperagakan termasuklah sebuah pemegang rekod kelajuan atas tanah tahun 1956 yang telah memberikan nama ikonik Bonneville buat Triumph.

Seksyen yang lain juga terdiri daripada Individuality (di mana terletaknya ke semua motosikal Triumph buatan khas yang terhebat dan yang paling unik sekali), Belonging (kawasan tempahan khas dari pemilik motosikal Triumph), dan Design (sebuah kawasan peragaan yang menunjukkan bagaimana motosikal Triumph baru direka bermula dari idea sehinggalah ke pengeluarannya).

Visitor Experience ini dibuka secara percuma namun sekiranya ada berminat untuk menyertai satu lawatan kilang selama 90 minit, tempahlah slot anda pada hanya £15 (sekitar RM83.80) seorang. Terdapat juga sebuah kedai khas yang menjual barangan eksklusif Triumph dan sekiranya anda ingin berehat, anda boleh melakukannya di cafe premium yang telah mereka sediakan.

Jika anda menggelarkan diri anda sebagai peminat tegar Triumph Motorcycles, buktikannya dengan mendalami pengalaman sepenuhnya di pusat Visitor Experience ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, TEKAN SINI.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.