Ducati Scrambler Icon 2019 Diperkenalkan!

  • Ducati Scrambler Icon 2019 telah diperkenalkan dengan pelbagai kemaskini yang berbeza.
  • Antara kemaskininya adalah panel sisi aluminium baharu, lampu hadapan, pelana leper baharu, atur cara suspensi yang diperbaharui, dan lain-lain.
  • Scrambler Icon baharu ini akan mula disediakan pada bulan November dalam dua pilihan warna; Atomic Tangerine dan Classic ’62 Yellow.

Dari ‘Land of Joy’, telah muncul tawaran terbaru dalam rangkaian Ducati Scrambler, Ducati Scrambler Icon 2019 yang dikemaskini. Pengemaskinian Ducati Scrambler terbaru ini menjadikan model tersebut lebih kontemporari, selesa dan selamat dalam bentuk sebuah pakej motosikal ‘middleweight’ yang lebih mampu milik.

Walaupun motosikal Scrambler Icon ini telah dikemaskini untuk tahun 2019, gabungan sempurna antara tradisi dan inovasi daripada siri ‘Joyvolution’ terkini ini masih mengekalkan intipati keterujaan penunggangan, iaitu kombinasi ringkas dua roda, palang pemegang lebar, serta enjin yang ringkas dan berkuasa, dilengkapi dengan spesifikasi seperti ABS menyelekoh, dan yang lain-lain.

Pengemaskinian terbaru bagi Ducati Scrambler Icon 2019 ini bermula dengan panel sisi aluminium yang baharu, yang mana ianya kini lebih tegap bagi disuaikan dengan lampu hadapan dan tangki bahanapi berbentuk ‘teardrop’ motosikal tersebut. Tentang lampu hadapannya pula, model Icon ini telah dilengkapi dengan sebuah unit baharu lengkap dengan Lampu Nyalaan Siang (Daylight Running Light – DRL), yang terletak di lingkaran luar, yang berilhamkan saudaranya yang lebih besar dan berkuasa, Ducati Scrambler 1100 2018.

Lampu isyarat LED baharu telah dipasang dengan kebolehan mematikan isyarat secara automatik, menyerlahkan lagi sentuhan moden pada motosikal yang berdaya tarikan retro ini. Satu lagi pengemaskinian utama adalah butang suisnya yang baharu, yang mana kini ianya lebih ergonomik buat penunggang untuk meneliti menu instrumen LCD model Icon ini, kini dengan penunjuk tahap bahanapi.

Untuk pengalaman penunggangan keseluruhannya, Ducati telah melengkapkan tawaran terkini Scrambler mereka ini dengan palang pemegang yang lebar, pelana leper baharu, dan juga atur cara suspensi yang telah diperbaharui untuk posisi menunggang yang lebih selesa serta santai. Dengan berat yang ringan (189kg) dan pusat graviti yang rendah, motosikal ini memberikan pengendalian yang hebat, bersama dengan roda aloi ringan 10 jejari (18 inci hadapan, 17 inci belakang) yang dilitupi dengan tayar Pirelli MT 60 RS yang besar.

Kemaskini terlain termasuklah:

  • Kawalan klac hidraulik yang lebih lembut.
  • Tuil yang boleh dilaras.
  • Sistem Multimedia Ducati.
  • Instrumentasi yang telah ditambah baik.
  • Tuil penukar gear baharu.
  • Tuil brek belakang jenis ‘off-road’.

Scrambler Icon generasi baharu ini dijana oleh enjin L-Twin Desmodue 803cc dengan kepala silinder hitama baharu dan sisip bersadur aluminium yang telah direka semula untuk pemecutan yang lebih lancar di sepanjang jangkauan ‘rev’. Enjin patuh Euro4 ini mampu menghasilkan sehingga 73hp pada 8,250rpm dan 67Nm tork pada 5,750rpm, di mana keseluruhan kuasa tersebut dipacu ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan.

Spesifikasi menarik yang lain adalah:

  • Fork hadapan terbalik 41mm Kayaba.
  • Penyerap hentakan belakang Kayaba dengan pembolehlarasan pra muatan.
  • Cakera brek hadapan 330mm, angkup 4 omboh jejari dengan Bosch Cornering ABS.
  • Cakera brek belakang 245mm, angkup 1 omboh terapung dengan Bosch Cornering ABS.

Ducati Scrambler Icon 2019 akan disediakan dalam dua pilihan warna yang berbeza; Atomic Tangerine dan Classic ’62 Yellow. Kedua-duanya datang dengan kerangka dan pelana hitam dengan kemasan berwarna kelabu. Ia akan mula dipasarkan seawal bulan November akan datang. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, sila layari www.scramblerducati.com.

Ducati Scrambler 1100 2018 Telah Tiba Di Malaysia! Dari RM83,000

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.