Yamaha Memfailkan Paten Transmisi “Seamless” Bagi YZF-R1

  • Paten Yamaha untuk transmisi “seamless” kegunaan jalan raya bagi model YZF-R1 telah tersebar di atas talian.
  • Transmisi lancar ini merupakan satu revolusi sewaktu Honda memperkenalkannya pada jentera MotoGP mereka.
  • Transmisi ini direka bagi memberikannya pacuan yang ‘lancar’.

Sewaktu Honda menginovasikan dan menggunakan transmisi “seamless” pada motosikal MotoGP mereka beberapa tahun yang lalu, para pengeluar lain telah berkejaran bagi menghasilkan transmisi tersebut untuk jentera mereka. Kini, setiap jentera MotoGP menggunakan transmisi tersebut. Kami ingat lagi sewaktu Yamaha bersusah payah membangunkan kotak gear “”seamless” milik mereka sendiri sewaktu Ujian Musim Sejuk 2014 di Litar Antarabangsa Sepang. Jorge Lorenzo telah mendesak pasukannya untuk memperkenalkannya dengan segera kerana dia menganggap sistem itu mampu membantu memberikan kestabilan sewaktu pembrekan.

Kini, Yamaha telah memfailkan paten bagi sistem yang serupa untuk dilengkapkan pada model YZF-R1.

Reka bentuk bagi kotak gear sebegini adalah rumit namun tujuannya adalah untuk mengagihkan aliran kuasa dengan lancar, walaupun ketika pertukaran gear. Sebuah quickshifter pula, sebenarnya memotong transmisi buat seketika sewaktu penukaran gear.

Oleh kerana penerangan mendalamnya akan mengambil masa yang amat panjang berjela, kami cuba ringkaskannya di sini.

Transmisi “seamless” dalam MotoGP menggunakan sejumlah besar ‘pawls’ di dalam roda gear yang mengunci dan membuka kunci gear seperti ‘ratchet’, membolehkan dua gear dikerjakan pada masa yang sama. Dengan gear yang lebih perlahan bergerak bebas di ‘pawls’, kuasa dari enjin tidak diganggu.

Sebenarnya, terdapat beberapa jenis sistem transmisi pada motosikal kegunaan jalan raya yang mengagihkan kuasa tanpa gangguan – sistem CVT dalam skuter dan sistem DCT (transmisi dwi-klac), teknologi milik Honda, yang digunakan dalam model Africa Twin, X-Adv, NC750, VFR1200, Gold Wing, dan lain-lain. Namun ianya berbeza berbanding kotak gear lancar yang digunakan dalam motosikal MotoGP.

Reka bentuk Yamaha telah mengelakkan berat tambahan yang ada pada DCT Honda, dan menggunakan klac kawalan tangan dan penukar gear kawalan kaki yang biasa. Tetapi, seperti mana jentera MotoGP pengeluar tersebut, dua gear telah disambung buat seketika sewaktu penukaran ke gear yang lebih tinggi mahu pun rendah. Secara mudahnya, ianya lebih kurang seperti DCT, tetapi, menggunakan gear.

Walaupun kelebihan transmisi lancar ini mungkin kurang ketara di atas jalan raya selain dari kemegahan mempunyai teknologi MotoGP dalam motosikal tersebut, ia mungkin sekali memberi kelebihan yang lebih ketara dalam motosikal Yamaha YZF-R1 dalam siri perlumbaan World Superbike.

Teknologi untuk kegunaan jalan raya masih dalam tahap paten, dan kita hanya boleh menunggu sahaja masa ianya dikilangkan pada masa yang akan datang.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]