- KTM sedang dalam pengemaskinian dan pengenalan model-model terbaru dalam kebanyakan rangkaian motosikal mereka.
- Terbaru yang akan dikemaskini adalah model 1050/1090 Adventure.
- Motosikal baharu itu mungkin sekali bakal dipertingkatkan dengan 1150cc selain daripada pelbagai kemaskini teknologi yang lain.
Sewaktu KTM melancarkan model 1050 Adventure, ianya dihasilkan untuk memperkenalkan penunggang baharu kepada dunia motosikal kembara KTM.
Rungutan terbesar adalah ianya ‘tidak cukup berkuasa’ kerana ianya hanya mampu mencecah ‘sekadar’ 95hp. KTM membalas semula dengan menawarkan model 1090 Adventure yang mampu menghasilkan sehingga 123hp.
Bagaimana pun, model 1090 Adventure ini pada asasnya ialah sebuah motosikal 1050 Adventure yang telah ditala semula, kerana kedua-dua buah motosikal ini mempunyai kapasiti yang sama. Selain itu, reka bentuk 1050/1090 juga sudah agak ketinggalan pada masa ini. Ditambah pula dengan kemunculan 790 Adventure nanti, motosikal 1050/1090 ini tampak agak keterlaluan, tidak diperlukan.
Akhir sekali, KTM tidak mempunyai model yang merapatkan jurang antara 1050/1090 Adventure dan rangkaian model 1290 Super Adventure.
Dan oleh kerana ini, tidak menghairankanlah sekiranya pengeluar terkemuka dari Austria itu kini sedang sibuk dalam pengujian motosikal 1090 Adventure yang dijana oleh enjin 1150cc, seperti mana yang telah dilaporkan oleh MCN.
Sumber rapat MCN juga turut melaporkan bahawa motosikal yang bakal muncul itu mungkin sekali akan tampil dengan ciri-ciri elektronik baharu tepat dengan peredaran semasa, antaranya paparan TFT, kawalan cengkaman sensitif sudut condong, dan Cornering ABS, dan barang kali, kelengkapan quick shifter.
Penambahan kapasiti juga secara amnya bermakna terdapat penambahan kuasanya. Dianggarkan bahawa ia akan berada di dalam julat 130hp atau di sekitar jumlah tersebut.
Selain itu, berdasarkan gambar-gambar intipan tersebut, model 1090 Adventure yang baharu ini juga akan dikemaskini dengan rupa paras segar, mirip pada rupa 1290 Super Adventure.
Motosikal yang baharu itu dijangka akan muncul pada tahun 2019 sebagai model tahun 2020, di mana ianya tepat pada masa penguatkuasaan piawaian emisi Euro 5 yang baharu.