- Penunggang solo mengelilingi dunia, Henry Crew, kini sudah separuh jalan dalam perjalanannya untuk mencipta Rekod Dunia Guinness yang baharu sebagai penunggang paling muda mengelilingi dunia.
- Menunggang motosikal Ducati Desert Slednya, dia telah pun merentasi 18 buah negara dalam masa empat bulan yang lalu dan kini telah tiba di Malaysia.
- Henry Crew juga sedang dalam usaha untuk meraih dana untuk Yayasan Movember, di mana dia berharap dapat meraih sejumlah £35,000 (sekitar RM182,913) di penghujung pengembaraannya itu.
https://www.facebook.com/MovemberUK/videos/10155068174946017/
Pada bulan April yang lalu, kami telah mendapat berita mengenai seorang pemuda berusia 22 tahun kelahiran Britain yang telah memulakan sebuah pengembaraan yang cukup menakjubkan. Di mana kebanyakan daripada kita masih lagi terkial-kial pada usia tersebut, Henry Crew telah menunggang secara solo mengelilingi dunia dengan matlamat untuk mencatat rekod dunia Guinness sebagai penunggang paling muda yang berjaya melakukannya.
Selepas empat bulan yang menjerihkan menunggang di atas jalan raya menggunakan motosikal Ducati Scrambler Desert Sled yang ditaja, Henry Crew kini berada di Malaysia dan jauh lebih awal dari jadualnya dalam mencatatkan rekod dunia Guinness yang baharu. Kami bernasib baik apabila teman rapatnya mengesyorkan Henry untuk melawat GB Workshop yang terletak di The Gasket Alley, di Petaling Jaya, Selangor.
Kami telah berpeluang untuk berbual ringkas dengan Henry sewaktu juruteknik bertauliah memeriksa motosikal Ducati Scrambler-nya yang amat tahan lasak itu. Menurut Henry, Malaysia adalah titik pertengahan dalam perjalanan merentasi jarak sejauh 35,000 batu atau 56,327km mengelilingi dunia dan setakat ini, dia telah pun mengutip pelbagai pengalaman mengagumkan yang boleh dikongsi.
25 buah negara, 6 buah benua berbeza akan direntasinya, di mana dia telah merentasi negara UK, Perancis, Jerman, Austria, Hungary, Romania, Moldova, Ukraine, Russia, Kazakhtan, Turkmenistan, Iran, Pakistan, India, Myanmar, Thailand, dan kini, Malaysia!
Pengembaraannya setakat ini adalah satu pengembaraan yang cukup epik sekali di mana pencapaian terbaharunya adalah menunggang merentasi Banjaran Himalaya! Bagaimana pun, perjalanan sekali seumur hidup yang bakal mencipta rekod dunia baharu ini bukan sekadar untuk suka-suka. Dengan hati yang besar, dia sedang membantu meraih dana dan kesedaran bagi Yayasan Movember, di mana dia berharap dapat meraih £1 bagi setiap batu yang direntasi, yang mana akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak £35,000 (sekitar RM182,913)!
Hentiannya yang seterusnya adalah Australia, dan selepas itu, Chile, Peru, Ecuador, Panama, Costa Rica, Nicaragua, Honduras, Guatemala, Mexico, Amerika Syarikat, Maghribi, Sepanyol, Perancis sebelum kembali ke UK. Untuk mencipta rekod dunia Guinness yang baharu itu, Henry perlu tiba semula sebelum tarikh hari lahirnya yang berikutnya yang jatuh pada 11 Mei 2019.
Kami di MotoMalaya akan mendoakan yang pemuda ini dalam usahanya dan berharap yang dia dapat mencatatkan rekod dunia yang baharu dan juga meraih dana yang secukupnya untuk tujuan amal tersebut. Selamat maju jaya kami ucapkan buat encik Henry Crew.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pengembaraan epik Henry Crew, layarilah laman Instagram rasminya DI SINI, atau layarilah laman sesawang www.35000miles.com!
Ducati Scrambler 1100 2018 Telah Tiba Di Malaysia! Dari RM83,000