- Motosikal superbike MondialMoto V5 2019 dikatakan bakal membuat kemunculan sulungnya pada penghujung tahun ini.
- Dengan pengalaman yang luas dalam perlumbaan motosikal, motosikal superbike generasi terbaru mereka itu akan dijana oleh sebuah enjin V5 1,000cc, 200hp.
- Tempahan telah dibuka sekarang bermula dari harga €27,995 hingga €35,995 (kira-kira RM130,084 hingga RM167,225).
Ada banyak khabar angin mengenai motosikal superbike yang baharu telah tersebar di atas talian internet dan yang terbaru ternyata amat menarik perhatian. Di mana kebanyakan pengeluar sedang membangunkan tatarajah empat silinder yang terbukti prestasinya, MondialMoto telah mengambil satu langkah ke hadapan (atau, mungkin sekali, ke belakang) bagi motosikal superbike generasi seterusnya mereka.
https://youtu.be/1XjwBN1SAJk
Telah ada berita bahawa pengeluar tersebut sedang menjalankan projek superbike janaan V5 terkini mereka, yang mana telah diberi nama MondialMoto V5 2019. Dua buah model yang dijangka akan dilancarkan pada lewat tahun ini adalah MondialMoto V5R dan MondialMoto V5S.
Rangkaian motosikal MondialMoto V5 dikatakan akan dijana oleh sebuah enjin V5, 1,000cc, 200hp, namun mereka masih belum mendedahkan sebarang spesifikasi buat masa ini selain daripada jumlah 200hp dan beberapa buah spesifikasi yang lain seperti DOHC, omboh gelincir tiga cecincin, empat injap bagi setiap silinder, dan nisbah mampatan 13.5:1.
Spesifikasi yang lain termasuklah:
- Tatarajah V 5-darjah.
- Klac gelincir.
- Kotak gear nisbah tertutup enam kelajuan.
- Kit sistem ekzos penuh titanium perlumbaan.
- ECU yang boleh diprogram sepenuhnya dengan singkapan semula catatan masa pusingan mod perlumbaan.
- Papan pemuka digital penunjuk gear, tolok bahanapi, rpm, graf, kelajuan, tolok bahanapi digital, suhu, dan jam.
- Kerangka dan sub kerangka karbon fiber yang bersatu dengan liang udara.
- Lengan ayun satu sisi aloi.
- Pakej brek Brembo.
- Suspensi Öhlins.
- Berat 179kg.
MondialMoto telah pun menetapkan harganya bermula dari €27,995 hingga €35,995 (sekitar RM130,084 hingga RM167,225O dan tempahan telah dibuka dengan harga tempahan pada €15,000 (RM69,687) dengan jumlah yang terhad. Buat masa ini, segala maklumat berkaitan dengan motosikal MondialMoto V5 ini hanya boleh didapati di laman sesawang www.mondialmotousa.com dan sekiranya ianya benar, kita mungkin bakal menyaksikan kemunculan buat kali pertamanya sewaktu EICMA 2018 di Milan pada bulan November yang akan datang.
Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.