Foggy-Petronas FP1 – Superbike Buatan Malaysia

  • Motosikal Foggy-Petronas FP1 merupakan motosikal superbike buatan Malaysia.
  • Dibina untuk perlumbaan WSBK bermula tahun 2003, homologasi jentera ini menyebabkan terhasilnya 150 buah unit.
  • Petronas dan Momoto terlibat dalam kes guaman dan membantutkan pengimportan.

Tahukah anda, kita ada motosikal superbike buatan negara? Ya, dan ianya bergelar Foggy-Petronas FP1.

Latar Belakang Foggy-Petronas FP1

Dihasilkan antara Januari hingga Julai 2003, ianya sebuah model homologasi untuk kejohanan World Superbike Racing. Petronas dan Sauber Petronas Engineering pada asalnya membangunkan motosikal prototaip Petronas GP1 989cc bagi perlumbaan MotoGP. Namun, mereka memutuskan untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan Superbike terlebih dahulu. Usahasama Sauber Petronas F1 telah melonjak nama Petronas di pentas antarabangsa.

FIM bagaimana pun telah mengehadkan bagi 750cc kepada empat silinder, 900cc kepada tiga, dan 1,000cc bagi dua. Bagi mematuhi peraturan ini, kapasiti enjin FP1 ditukar kepada 899.5cc. Petronas perlu menghasilkan sebanyak 150 buah motosikal yang sah untuk kegunaan jalan raya bagi memenuhi syarat homologasi FIM Superbike. Enjin ‘inline-Triple’ 899.5cc tersebut menghasilkan 127.4hp pada 10,000rpm dan 92.0Nm pada 9,700 rpm. Jurang sebanyak 300 rpm antara tork maksima dan kuasa kuda maksima menjadikan enjin ini ‘peaky’. Namun begitu, FP1 dikatakan hanya seberat 181kg, memberikan motosikal tersebut nisbah kuasa-berat yang bagus.

Saksikanlah video di bawah untuk mendengar bunyinya di Malaysia (kemungkinan sekali di Naza).

MSX International telah membina 75 unit yang pertama di UK menjelang Januari 2003. Mereka telah lulus pemeriksaan homologasi bagi menyertai kejohanan WSBK tahun tersebut. Modenas perlu mengilangkan 75 unit yang akhir sebelum Julai 2003. Rancangan mereka adalah menyediakan 100 buah untuk orang ramai dan 50 untuk perlumbaan.

World Superbike Racing

Perusahaan petroleum negara kemudiannya telah mendapatkan khidmat juara dunia WSBK empat kali, Carl “Foggy” Fogarty untuk mengendalikan pasukan dan selepas itu, jentera tersebut telah dikenali ramai sebagai Foggy-Petronas FP1. Para penunggang pasukan adalah juara dunia WSBK Troy Corser dan James Haydon.

Malangnya, perubahan peraturan FIM telah memcacatkan kebolehan perlumbaan FP1. Secara tiba-tiba, satu peraturan baharu membenarkan KE SEMUA format enjin sehingga 1,000cc telah dilaksanakan. Akibatnya, ke semua jentera lain jauh lebih berdaya saing berbanding FP1.

Pada tahun 2004, FIM telah mengenakan syarat yang ke semua jentera perlu menggunakan tayar kawalan Pirelli. Pasukan pengilang dari Jepun memprotesdengan menarik diri dari kejohanan, meninggalkan Ducati untuk mendominasi musim tersebut. Bagaimana pun, ini telah membolehkan Corser untuk menduduki tempat ke-dua di San Marino. Penunggang baharu, Chris Walker, menduduki tempat ke-tiga di Valencia sewaktu perlumbaan pembuka musim.

Momoto saman Petronas

Pada tahun 2010, Motorcycle News (MCN) mengetahui adanya 60 buah motosikal FP1 dalam simpanan di Basildon, Essex. Ianya merupakan sebahagian daripada kumpulan 75 unit pertama yang sepatutnya dihantar ke Malaysia.

Pengedar motosikal Malaysia telah membelinya beserta 69 buah motosikal usang yang lain dan menjenamakan semula motosikal ini sebagai Momoto MM1 pada tahun 2012. Apa yang Momoto tidak ketahui adalah Petronas masih belum membayar AP (permit kebenaran), serta duti eksais dan kastam, yang mana menyebabkan kerajaan Malaysia merampas ke semua 129 buah motosikal tersebut.

Momoto telah menyaman Petronas sejumlah $83 juta pada tahun 2013. Motosikal-motosikal ini telah dilupakan begitu sahaja.

Munculnya Lazante Motorsports

Mujur sekali, ada sinar harapan di ufuk apabila syarikat pembaik pulih kereta lumba Britain, Lazante Motorsports, telah membeli motosikal-motosikal ini dan akan memulihkannya semula kepada warna hijau Petronas yang asal. Ia juga telah dilengkapi dengan angkup brek empat omboh Brembo dan juga fork Öhlins.

Apakah reaksi Petronas dan Momoto? Kami tidak pasti, namun, apa yang kami pasti adalah motosikal superbike Foggy-Petronas FP1 yang menarik ini akan disediakan pada harga $32,000.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.