Sepuluh Tip Menunggang Dari Sepuluh Penunggang Pro (Bahagian 1)

Marc Marquez – Sumber imej: MotoGP.com
  • Agak mudah untuk kita lupa bahawa penunggang pro juga bermula dari asas.
  • Setelah menguasai asas penunggangan, barulah mereka memupuk gaya penunggangan mereka yang tersendiri.
  • Di sini kami senaraikan Sepuluh Tip Menunggang dari Sepuluh Penunggang Professional (Bahagian 1).

Sering kali kita menyaksikan dengan perasaan penuh kagum akan penunggang professional bertarung sesama mereka pada setiap hujung minggu; mereka buatkan penunggangan yang amat laju tampak semudah memetik jari sahaja. Namun jika anda pernah bercakap dengan mana-mana antara mereka, anda pasti berasa terkejut yang asas penunggangannya sama sahaja. Dengan erti kata lain, mereka bermula dengan belajar tentang asas penunggangan sebelum mengubahnya dengan gaya mereka yang tersendiri. Ke semua penunggang boleh dipupuk, bukannya anda perlu lahir dengan bakat tersebut. Atas sebab inilah kami telah senaraikan Sepuluh Tip Menunggang dari Sepuluh Penunggang Professional.

Selain itu, tidak wujud keadaan di mana seorang penunggang itu lebih berani dari penunggang yang lain. Ia bukan sekadar kemahiran sahaja tetapi juga bagaimana penunggang menunggang dengan bijak.

Di sini adalah tip-tip yang telah kami himpunkan sejak sekian lama, sama ada dari temu bual atau dari apa yang telah kami baca sebelum ini.

1. Kenny Roberts Sr. – “Tunggang dengan pantas pada bahagian yang laju”

Kenny Roberts Sr. – Sumber imej: yamaha-motor.com

Sebagai seorang penunggang yang petah bersuara, Kenny Roberts Sr. adalah antara penunggang yang pertama yang telah mendedahkan bahawa tiada kebenaran mengenai menunggang dengan pantas dan melulu. Sebaliknya, ianya bergantung kepada bagaimana anda menganalisa cara tunggangan anda. Begitulah caranya dia memenangi 3 kejohanan GP Dunia 500cc berturut-turut. Bagi “King” Kenny, dia sama ada memulas sepenuhnya pendikit atau membrek, tiada kompromi antara keduanya. Bahagian terpenting atas litar lumba adalah selekoh dengan jalan lurus yang panjang sejurus selepasnya dan di situlah dia memulas keras pendikitnya. Tiada gunanya cuba menunggang dengan lebih pantas pada selekoh yang perlahan kerana risikonya jauh lebih besar dari ganjarannya – dengan erti kata lain, ianya lebih mudah untuk terbabas pada ketika itu.

2. Wes Cooley – “Dakapkan dada anda pada tangki”

Wes Cooley – Sumber imej: www.cyclenews.com

Sebagai penunggang motosikal superbike sewaktu zaman lewat 70-an dan awal 80-an, Wes Cooley sentiasa memastikan dadanya kekal rapat mendakapi tangki bahanapi. Dengan berbuat begitu akan mengenakan lebih banyak berat pada tayar hadapan bagi membantu dengan pengendalian motosikal. Itulah sebabnya mengapa motosikal superbike masa kini direka bentuk dengan caranya sekarang, selain memberikannya sifat yang lebih aerodinamik.

Cooley pernah bercerita, “Satu hari sesudah latihan, ayah saya memberitahu saya yang saya perlu memastikan badan saya kekal rapat dengan motosikal. Saya kata yang saya sudah lakukannya, jadi dia ikat seutas tali kasut dari zip sut ke kunci pemula enjin. Sewaktu saya kembali masuk ke dalam pit pada sesi yang seterusnya, zip sut perlumbaan saya telah berada di paras pinggang saya.”

3. Freddie Spencer – “Brek di mana anda perlu, bukan di mana anda rasa anda perlu”

Freddie Spencer – Sumber imej: www.motorcyclenews.com

“Fast” Freddie Spencer ada pendekatannya tersendiri terhadap perlumbaan. Di mana penunggang yang lain akan menyimpan nota terperinci mengenai titik pembrekan, titik masuk, titik rujukan, dan sebagainya, Spencer lebih fleksibel dan mengikut gerak hatinya. Cara itu membolehkannya untuk mengubahsuai taktik dengan pantas bergantung pada tayar yang semakin haus dan keadaan litar yang berubah. Kaedahnya itu telah membolehkannya mengungguli kejohanan GP 500cc pada tahun 1983 dan 1985, dan juga kejohanan GP 250cc pada tahun 1985. Dia adalah satu-satunya penunggang yang memegang rekod tersebut.

4. Eddie Lawson – “Kenali selok belok suspensi anda”

Eddie Lawson – Sumber imej: www.cyclenews.com

“Steady” Eddie Lawson adalah seorang penunggang yang amat tenang sekali. Tiada ada yang mampu mengganggu konsentrasinya di atas mahu pun di luar litar. Perwatakannya yang amat tenang itu juga mencerminkan gaya penunggangannya yang amat lancar itu. Tambahan pula, Lawson adalah seorang penunggang yang amat teratur, yang banyak memberi perhatian terhadap atur cara jenteranya. Sebagai contoh, sewaktu dia kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1993 untuk berlumba dalam Daytona 200. Dia tidak mempunyai sebarang pengalaman menunggang jentera Yamaha FZR-750 milik pasukan Vance & Hines, jadi dia telah mencuba keseluruhan penyelarasan rangkaian suspensi sewaktu sesi latihan bagi mendapatkan aturcara yang optimal. Usahanya itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menewaskan “Mr. Daytona”, Scott Russell.

5. Scott Russell – “Kemudi menggunakan bahagian belakang”

Scott Russell – Sumber imej: racingcafe.blogspot.com

Kata sahaja yang anda mahu tentang penunggang yang penuh misteri dari Georgia, Amerika Syarikat ini, apa yang tidak dapat dinafikan adalah dia ialah seorang penunggang yang pantas. Dia telah berjaya memegang rekod kemenangan perlumbaan Daytona 200 sebanyak lima kali bukan sahaja atas kebolehan penjagaan tayarnya yang luar biasa, tetapi juga atas kemahirannya menunggang sebuah motosikal superbike dengan tayar yang haus. Sewaktu tahap cengkamannya menurun, Mr. Daytona akan menggunakan sudut condong yang berbeza bagi menggunakan bahagian yang berbeza pada tayarnya itu. Selain itu, dia juga akan memulas pendikitnya bagi menggelincirkan tayar belakangnya untuk memperketatkan lagi garisannya. Motosikal moden mungkin ada kawalan cengkaman bagi mengelakkan gelinciran tayar tetapi mod lumba pada kebanyakan motosikal lumba membolehkan penunggang untuk menggelincirkan tayar belakang, seperti mana yang telah dilakukan oleh Russell.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]