Harley-Davidson Custom 1,250cc Baharu Disahkan: Adakah Ini Sportster Yang Baharu?

  • Motosikal Harley-Davidson Custom yang baharu ini adalah sebahagian daripada pelan 5 tahun Harley-Davidson.
  • Ia telah disahkan untuk pengeluaran dan barang kali akan diperkenalkan pada tahun hadapan sebagai model tahun 2020.
  • Ia dijana oleh enjin 1,250cc yang baharu.

Tipulah jika kami kata yang kami tidak terpesona dengan motosikal yang barang kali akan menjadi Harley-Davidson Sportster yang baharu bagi tahun 2020. Ia tampak seperti sebuah motosikal yang akan ditunggangi Wolverine ke medan peperangan. Dengan erti kata lain, motosikal Harley-Davidson Custom 1,250cc yang bahau ini cukup mengagumkan.

Ia menampilkan reka bentuk motosikal cruiser yang klasik dengan kekudanya yang rendah dan panjang yang memberikannya rupa ala roadster tegar. Dijana dengan enjin ‘V-Twin’, sejukan cecair, 1,250cc, ianya tidak syak lagi sebuah motosikal yang ‘buas’.

Harley-Davidson masih belum menyebarkan banyak maklumat selain gambar-gambar ini dan beberapa butiran maklumat mengenai enjinnya, yang mana telah menggunakan tatarajah V 60 darjah. Kepala silindernya juga nampak agak besar dari biasa dan sumber kami mengandaikan yang enjin itu mungkin bercirikan ‘valve train’ DOHC. Dari gambar-gambar ini juga anda boleh lihat yang silindernya tidak mempunyai sebarang sirip untuk penyejukan, bermakna enjinnya itu bergantung pada radiator ‘water-to-air’ bagi membolehkan enjin berfungsi pada suhu ideal.

Enjinnya mungkin tampak agak serupa dengan enjin 975cc yang menjana model Streetfighter, tetapi kapasitinya ternyata berbeza, mengandaikan yang Harley-Davidson mungkin sekali akan membina dua varian bagi enjin yang sama.

Saksikanlah video promosi Harley-Davidson di bawah, menyoroti masa lalu, rancangan masa depan, dan 4 buah model baharu yang dirancang akan diperkenalkan tahun hadapan.

Seperti motosikal Streetfighter, enjinnya dipaut di bahagian dalam kerangka tiub keluli yang dilegapkan, dengan beberapa titik pautan enjin yang berada di bahagian hadapan dan belakang kepala silinder. Lengan ayunnya tampak jelas sekali telah dipanjangkan bagi merumahkan tayar Pirelli 16 inci yang besar itu. Suspensi belakangnya telah disembunyikan dari pandangan mata, namun, bahagian hadapan dengan jelas sekali telah dikendalikan oleh fork terbalik dengan rim hadapan 17 inci, beserta sepasang cakera brek hidraulik untuk daya hentinya.

Posisi duduknya tampak seperti gabungan antara keselesaan dan prestasi, berdasarkan kawalan kaki yang dipaut ke hadapan dan palang pemegang bergaya ‘tracker’.

Dari gambar juga, anda dapat melihat sendiri ciri-ciri estetik yang lain seperti klac aktuasi kabel, lampu hadapan LED ala Fat-Bob, dan cermin pandang sisi yang berada di bawah palang pemegang.

Harley-Davidson telah mengesahkan pelan mereka untuk memperkenalkan motosikal ini sebagai sebahagian daripada model tahun 2020 mereka, seiring dengan model Pan America dan Streetfighter.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply