Motosikal Kembara Harley-Davidson Yang Pertama, Pan America, Sah Akan Dikilangkan!

  • Harley-Davidson telah mengesahkan bahawa mereka bakal mengeluarkan sebuah motosikal kembara bagi menyaingi BMW, Ducati, Triumph, malah Yamaha dan juga KTM, Harley-Davidson Pan America.
  • Motosikal ini dijana menggunakan enjin 1,250cc dari model Harley-Davidson Custom.
  • Ia akan tampil dengan ciri yang biasa ada pada sebuah motosikal kembara seperti ‘belly pan’ aluminium, pacuan rantai, dan posisi duduk neutral.

Menakjubkan. Siapa yang dapat membayangkan yang Harley-Davidson akan menghasilkan sebuah jentera yang radikal dan lain daripada yang lain seperti ini? Memperkenalkan, Harley-Davidson Pan America, sebuah motosikal dwi sukan dari harley-Davidson telah disahkan untuk pengeluaran.

Harley-Davidson telah senantiasa kekal teguh dengan warisan dan reka bentuk mereka, dan walaupun pada waktu pembinaan motosikal berprestasi lumba, ianya masih kelihatan seperti sebuah motosikal Harley. Jadi, ianya cukup menyeronokkan dapat melihat jenama ikonik seperti Harley menghasilkan sesuatu yang lain dari kebiasaan mereka.

Tampak jelas sekali yang ianya sebuah motosikal ‘adventure-touring’, seperti motosikal BMW GSA, atau Ducati Multistrada, motosikal Harley-Davidson Pan America ini berkemungkinan akan diletakkan dalam bahagian motosikal mewah bagi mengekalkan tahap eksklusifnya, namun, pada masa yang sama, cukup teguh untuk membawa pemilik Harley ke tempat yang tidak pernah mereka terokai sebelum ini.

Motosikal Pan America ini dijana oleh enjin 1,250cc, 60 darjah yang sama menjana motosikal Harley-Davidson Custom yang baru diperkenalkan. Enjinnya mungkin sekali akan ditala berbeza bagi menawarkan kuasa yang biasa ada pada motosikal dwi sukan.

Ia juga dilengkapi dengan ciri motosikal dwi sukan biasa yang lain, seperti sub rangka belakang trellis, plet gelingcir aluminium, brek berprestasi tinggi Brembo, dan pacuan rantai.

Menurut satu laporan atas talian, namun, tidak disahkan oleh Harley-Davidson, kerangkanya menggunakan seksyen tengah tempa yang menyambungkan lengan ayun dan sub kerangka dengan tulang belakang yang besar. Ianya kemudiannya disambungkan dengan fork terbalik. Tiada sebarang maklumat lagi mengenai pakej suspensi keseluruhan, tetapi ia dijangka selesa.

Di bahagian hadapannya, reka bentuk motosikal ini teramatlah unik. Suka atau tidak, bahagian hidung tumpul dan lampu hadapan yang panjang dan mendatar adalah rekaan tipikal Harley-Davidson, dan penghadang anginnya juga boleh dilaras.

Harley-Davidson cukup terkenal dengan motosikal yang boleh merentasi jarak jauh dengan selesa, jadi, tidak keterlaluanlah untuk mengandaikan yang motosikal Pan America ini juga mampu melakukan tugas yang sama, berdasarkan pelananya yang lebar dan amat leper itu.

Seperti yang dapat anda lihat dalam video promosi di bawah, motosikal Pan America ini tampak seperti sebuah motosikal yang amat berkebolehan. Dan memandangkan yang Harley-Davidson mempunyai dana yang besar dan jabatan kajian dan pembangunan yang amat berkebolehan, motosikal Pan America ini mungkin sekali sebuah motosikal yang amat baik dalam tugasnya. Tetapi sama ada ia kekal sejati sebagai motosikal dwi sukan seperti Yamaha Super Tenere atau pun Triumph Tiger XCX, ianya masih terlalu awal untuk dikatakan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply