KTM 390 Adventure 2019 Sah Akan Dikilangkan!

  • KTM India telah mengesahkan bahawa model KTM 390 Adventure 2019 yang baharu akan sedia untuk dikilangkan pada tahun hadapan.
  • Motosikal kembara tahap permulaan yang baharu itu akan berkongsi platform yang sama seperti model 390 Duke dan RC390.
  • Model 390 Adventure yang baharu ini dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun ini sewaktu EICMA 2018.

Sumber imej: MCN

Kancah penunggangan kembara dan dwi-sukan telah diriuhkan dengan berita yang KTM akan memperkenalkan model KTM 390 Adventure mereka pada tahun 2019. Motosikal kembara tahap permulaan mereka itu akan berkongsi platform yang sama dengan model naked dan juga lumba mereka, 390 Duke dan RC390.

Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk motosikal kembara berkapasiti lebih kecil, KTM telah memutuskan yang ianya masa yang amat tepat untuk memperkenalkan pilihan ini kepada orang ramai. Dengan kejayaan mereka, lebih-lebih lagi dengan rangkaian 390, ianya tidaklah mengejutkan yang mereka memperluaskan lagi rangkaian mereka dengan pengenalan varian kembara ini, yang akan menjadikannya lebih menarik lagi.

Menurut Encik Amit Nandi, Naib Presiden Bajaj dan juga ketua KTM India, “Dengan model 390 Adventure ini, kami telah membuat kemunculan yang telah dinanti-nantikan dalam segmen dwi-sukan premium, yang mana merupakan sebuah segmen yang sesuai dengan jalan raya di India.”

Model KTM 390 Adventure ini telah diusahakan bertahun lamanya, dengan beberapa buah gambar intipan telah pun tersebar sebelum ini. Berdasarkan pembangunan yang telah dijalankan KTM, dan juga peranan yang mereka mainkan dalam dunia penunggangan ‘off-road’, tidak akan mengejutkan sekiranya model 390 Adventure baharu ini mampu menangani penunggangan ‘off-road’ yang lebih serius.

Sumber imej: MCE Insurance

Berbanding dengan model-model lain yang tersedia dalam segmen ini, seperti Kawasaki Versys-X 250, BMW G 310 GS, dan Royal Enfield Himalayan 400, KTM perlu membangunkan model 390 Adventure ini sebagai sebuah model premium dari segi spesifikasi bagi membolehkannya berada di hadapan para saingannya.

Selain daripada enjin satu silinder 373cc dengan 44hp dan 37Nm tork, ciri-ciri seperti ruang gerakan suspensi yang panjang, kawalan cengkaman yang diperkemaskini, dan tayar ‘knobby’ dijangka akan melengkapi jentera baharu ini. Bagi menjadikannya lebih menggiurkan, kami jangka mereka mungkin juga akan melengkapkannya dengan paparan skrin TFT mereka yang menawan, seperti mana yang ada pada model 1290 Super Adventure dan juga 390 Duke.

Berdasarkan perkiraan kami, kita mungkin sahaja akan menyaksikan kemunculan sulung model KTM 390 Adventure 2019 yang baharu ini pada hujung tahun ini sewaktu EICMA 2019 di Milan, Itali. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

KTM 790 Duke Baharu Telah Tiba Di Malaysia – RM64,800!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]