MV Agusta Turismo Veloce Lusso SCS 2018 Dilengkapi Klac AUTOMATIK?

  • MV Agusta telah melancarkan model MV Agusta Turismo Veloce Lusso SCS 2018 yang terkini dan didatangkan dengan sistem klac automatik.
  • Dengan ciri “Smart Clutch System”, motosikal ini mampu mengaktifkan dan menyahaktifkan klac secara automatik bergantung kepada kemampuan rev enjinnya.
  • Ringkasnya, sistem SCS ini membolehkan penunggang untuk berhenti dan memulakan perjalanan semula tanpa menyentuh klac.

Pengeluar motosikal premium Itali, MV Agusta, telah mendedahkan MV Agusta Turismo Veloce Lusso SCS 2018 mereka yang terkini dua hari lepas. Tiada perubahan besar dari segi rupa tetapi SCS yang terdapat dalam nama yang gah itu merupakan singkatan bagi “Smart Clutch System’, yang mana ianya sesuatu yang baru.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan SCS dan mengapa peminat motosikal lumba perlu memberi perhatian terhadapnya? Sistem klac automatik yang telah dibangunkan oleh MV Agusta dengan bantuan daripada Rekluse ini boleh didapati sekarang sebagai kelengkapan pilihan tambahan bagi jentera sport-touring utama jenama tersebut bagi meningkatkan lagi prestasi penunggangan dan juga tahap keselesaan.

Dengan sistem baru ini, motosikal ini mampu mengaktifkan dan menyahaktifkan klac secara automatik, bergantung kepada kemampuan rev enjin. Ia juga akan membantu dalam menghindarkan motosikal daripada termati sendiri dan membolehkan anda memulakan perjalanan semula tanpa perlu menyentuh tuil klac. Apabila mod auto SCS diaktifkan, anda secara amnya sedang menunggang sebuah jentera 798cc semi automatik, tiga silinder, lebih-lebih lagi dengan quickshifter dwi arahnya.

Penggunaan tuil klac tidak diperlukan sewaktu sistem SCS diaktifkan, namun, bagi mereka yang masih mahu merasa keseronokan menggunakan pertukaran gear dan klac secara tradisional, anda boleh sahaja melakukannya dengan menukarkannya ke mod manual. Tampak gayanya, ia mungkin sahaja ciptaan Eropah bagi menandingi teknologi ‘Dual Clutch Transmission’ (DCT) Honda.

Model MV Agusta Turismo Veloce Lusso SCS 2018 ini juga dilengkapi dengan kemaskini lain seperti enjin yang patuh Euro4, kotak gear baru, gear-gear utama, aci pengimbang, dan, bagi menyerlahkan lagi sistem SCS mereka, penutup klac lutsinar.

Masa depan motosikal sudah pun tiba sekarang, tuan-tuan dan puan-puan.

Nak Tahu Rupa Jentera Perlumbaan Moto2 MV Agusta 2019?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]