Rangkaian Brixton BX150 2018 Telah Tiba Di Malaysia Dari RM8,988

  • Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah memperkenalkan rangkaian Brixton BX150 untuk pasaran Malaysia.
  • Brixton Motorycles adalah sebuah jenama milik Austria yang bertumpukan kepada jentera moden klasik berkapasiti rendah.
  • Pada harga yang bermula dari RM8,988 hingga RM9,588,terdapat tiga pilihan yang telah ditawarkan; BX150, BX150X, dan BX150R.


Inginkan sesuatu yang lain daripada yang lain bagi mewarnai kehidupan harian anda? Teringinkan sebuah motosikal 150cc unik yang tidak akan membebankan poket anda? Mahukan sesuatu yang lebih daripada hanya sekadar kapcai dan skuter yang biasa-biasa? Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. tampil membantu anda dengan tawaran terkini mereka, rangkaian motosikal Brixton BX150 2018.

Pengedar tunggal jenama motosikal Benelli dan Sym di Malaysia telah menambah satu lagi jenama di bawah naungan mereka dan ianya menjanjikan sesuatu yang unik bagi pasaran Malaysia. Brixton Motorcycles adalah sebuah jenama Austria dengan nama British yang menjual motosikal yang pada amnya dibina di China.

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. menyedari akan kepopularan motosikal 150cc di Malaysia dan memutuskan untuk membawa masuk tiga buah model yang memenuhi tiga personali yang berbeza. Model asas adalah Brixton BX150, yang mnampilkan rupa bentuk berilhamkan gaya British, bermula dengan skema warna hijau militari hinggalah ke beg pelana berwarna perangnya itu.

Ketiga-tiga model berkenaan dilengkapi dengan enjin 149cc, empat lejang, SOHC, sejukan udara, satu silinder yang sama yang dikatakan dapat menghasilkan sekitar 11hp pada 8,000rpm dan 11.4Nm tork pada 6,000rpm. Keseluruhan kuasanya itu dipacu ke roda belakangnya melalui kotak gear manual lima kelajuan. Ia juga dilengkapi dengan pengecas USB!

Model Brixton BX150X, yang juga merupakan model kegemaran kami dari rangkaian ini menampilkan tarikan yang lebih ke arah sebuah motosikal ‘scrambler’. Dilengkapi dengan tayar ‘knobby’ (18 inci di hadapan, 17 inci di belakang) dengan skema warna hitam matte yang menggiurkan, model BX150X ini datang dengan harga RM9,288 (harga asas dengan 0% GST).

Model BX150X (dan juga dua model yang lain) dilengkapi dengan fork hadapan teleskopik dan atur cara suspensi belakang lengan ayun yang dipertingkatkan dengan sepasang cakera brek (280mm hadapan, 220mm belakang) bagi membantu dengan daya hentinya.

Mahu rasa lebih hipster? Dapatkan Brixton BX150R 2018 yang lebih ke arah gaya sebuah café racer. Berharga RM9,588 (harga asas dengan 0% GST), model BX150R ini dilengkapi dengan rupa paras yang amat kemas yang dihasilkan dari tayar klasik istimewa, pelitup pelana belakang, dan palang pemegang ‘clip-on’, dan juga kelengkapan-kelengkapan menarik yang lain.

Rangkaian Brixton BX150 2018 ini telah menyerlahkan gaya ‘ol skool’ yang menarik dan mereka tampil sebagai satu alternatif yang hebat bagi pasaran Malaysia. Bagi mereka yang berminat untuk memilikinya, ketahuilah yang ianya telah pun sedia untuk tempahan di ke semua bilik pameran rasmi mereka di seluruh negara!

Benelli 752S Dan 402S 2018 – Bakal Tiba Di Malaysia Dalam Masa Terdekat!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]