MotoGP: Joan Mir Sertai Suzuki Bagi Musim 2019 dan 2020!

  • Joan Mir telah menandatangani perjanjian dua tahun bersama pasukan pengilan Suzuki MotoGP.
  • Juara dunia Moto3 2017 itu akan mengemudi jentera Suzuki GSX-RR untuk dua musim seterusnya bersama Alex Rins.
  • Penunggang rookie bagi Moto2 pada musim ini telah pun berjaya mendapat tempat di atas podium dalam perlumbaan kelas pertengahan itu.

MotoGP musim ini agak bergelora buat para penunggang dengan beberapa buah perpindahan yang besar. Dari Jorge Lorenzo ke Honda, hinggalah ke Andrea Iannone memeterai perjanjian dengan Aprilia, dan kini, satu lagi berita hangat telah mengesahkan yang penunggang Moto2, Joan Mir, akan berpindah ke kelas premier dengan menyertai pasukan pengilang Suzuki Ecstar untuk dua musim yang berikutnya.

Juara dunia Moto3 2017 itu telah mencuri tumpuan ramai dalam musim rookie di Moto2. Dengan beberapa buah penamat di atas podium sebagai penunggang rookie kelas pertengahan, “Miracle Mir” telah menarik perhatian pasukan pengilang Suzuki dan mereka berkeyakinan bahawa penunggang berusia 20 tahun itu mampu mengemudi jentera Suzuki GSX-RR mereka.

Bergandingan dengan Alex Rins, Mir akan menggantikan Andrea Iannone yang akan meninggalkan pasukan tersebut dan menyertai pasukan pengilang Aprilia. Walaupun Iannone telah membawa penamat atas podium berturut-turut yang pertama bagi pasukan dari Hamamatsu sejak kemunculan semula mereka di kelas premier ini, perjanjian dengan Mir telah pun dimeterai dengan satu halatuju yang baharu dalam minda mereka.

Menurut Ketua Projek Team Suzuki Ecstar, Shinichi Sahara, “sebagai sebuah pasukan, kami senantiasa cuba melihat ke masa hadapan dari segi pelan pembangunan jangka panjang, yang mana termasuklah mengambil peluang dengan penunggang muda yang kami rasa merupakan satu pelaburan masa depan. Kami telah lakukannya sewaktu tahun pertama kami kembali pada tahun 2015, kami lakukannya sekali lagi pada 2017 sewaktu kami tandatangani Alex Rins, yang juga telah memeterai perjanjiannya tahun ini, dan kami telah mengukuhkannya lagi dengan perjanjian bersama Joan Mir.”

Pengurus Pasukan Davide Brivio berkata, “Joan Mir baru berusia 20 tahun, sudah pun bergelar Juara Dunia dengan 10 kemenangan perlumbaan yang menakjubkan pada tahun lalu dan dia telah pun membuktikan dirinya. Dia tegas, bijak, berpewatakan baik, dan boleh menunggang dengan pantas. Ke semua perwatakan yang kami inginkan dalam seorang penunggang muda, yang mahu menyertai kami bukan hanya kerana prestij atau kemegahan mengemudi jentera pengilang dalam kelas premier, tetapi, yang paling penting sekali, dia yakin dengan projek perlumbaan kami.”

“Pihak pengurusan Suzuki telah menggalakkan kami untuk meneruskan “falsafah penunggang muda” dan dengan Joan, saya rasa kami telah jumpa protagonis yang sesuai dengan peranan ini. Bersama dengan Alex dan Joan, kami mempunyai dua orang penunggang yang amat berkebolehan dan sasaran kami adalah untuk membangunkan sebuah pasukan yang amat kuat untuk masa depan,” tambah Brivio.

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Danilo Petrucci Sertai Pasukan Pengilang Ducati Bagi Musim 2019

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]