Pasukan Petronas Yamaha MotoGP Bakal Ditubuhkan Dengan Jorge Lorenzo dan Hafizh Syahrin?

  • Khabar angin mengenai kehadiran pasukan Petronas Yamaha MotoGP bagi musim 2019 telah mula tersebar baru-baru ini.
  • Pasukan satelit Yamaha terbaru ini dikatakan bakal menggunakan khidmat Hafizh Syahrin bersama dengan Jorge Lorenzo.
  • Pasukan baharu ini akan membantu MotoGP dalam menangani beberapa buah masalah yang sedang mereka hadapi buat masa ini.

Terdapat begitu banyak khabar angin yang sedang tersebar di sekitar paddock MotoGP, namun, berita yang satu ini mungkin sekali yang paling tergempar pada masa ini, terutamanya bagi para peminat di Malaysia. Nampaknya, ada satu kemungkinan yang Malaysia akan mengendalikan sebuah pasukan MotoGP pada tahun 2019 sebagai pasukan satelit Yamaha.

Menurut beberapa buah sumber yang boleh dipercayai, SIC (Sepang International Circuit) sedang berusaha bagi membolehkan penunggang negara, Hafizh Syahrin, kekal dalam MotoGP bagi musim 2019. Lebih penting lagi, mereka mencuba sedapa upaya untuk memastikan yang jentera Hafizh pada tahun 2019 nanti ialah jentera Yamaha M1.

Kita sudah sedia maklum bahawa para pegawai SIC telah ke Jerez sewaktu pusingan MotoGP di sana untuk berbincang bersama Dorna, para pasukan, dan juga dengan Yamaha, namun, hasil perbincangan itu tidak diwar-warkan. Selepas pusingan yang terkini di Perancis, ada warga media yang telah mengatakan bahawa Yamaha mungkin sekali akan mengendalikan sebuah pasukan satelit pada tahun hadapan. Persoalannya, siapakah yang akan menjadi penaja utama mereka?

Sumber-sumber ada mengatakan yang Petronas mungkin akan menyertai mereka sebagai penaja utama dan bersama dengan Yamaha, mereka mungkin akan dapat membawa masuk Jorge Lorenzo sebagai penunggang kedua mereka. Melihat pada prestasinya yang kurang memberangsangkan bersama dengan Ducati, Juara Dunia lima kali itu mungkin sahaja akan menamatkan kontraknya dengan lebih awal bagi mengemudi kembali jentera Yamaha yang telah ditungganginya bagi memperolehi tiga kejuaraan MotoGP.

Kewujudan sebuah pasukan satelit Yamaha yang ditaja oleh Petronas dan SIC juga akan membawa penyelesaian kepada beberapa buah masalah yang sedang dihadapi MotoGP. Pasukan ini akan membantu dalam perkara seperti:

  • Membolehkan Ducati mendapatkan penunggang yang lebih baik bagi jentera Ducati Desmosedici GP mereka yang sentiasa bertambah baik.
  • Jorge Lorenzo dapat kembali ke atas jentera Yamaha yang cocok dengan gaya penungganganya.
  • Hafizh Syahrin dapat meneruskan mengekalkan tempatnya di kelas MotoGP bagi musim 2019.
  • Sebuah pasukan baharu bagi menggantikan Marc VDS yang dikatakan akan menghentikan usaha MotoGP mereka pada penghujung musim ini.

Buat masa ini, ini hanyalah sekadar khabar angin yang belum lagi disahkan oleh mana-mana pihak yang terlibat. Paddock MotoGP kini sedang berada di Mugello dan harap-harapnya, lebih banyak berita yang akan keluar untuk mengesahkan teori kami ini. Apa pandangan tuan-tuan dan puan-puan akan sebuah pasukan Petronas Yamaha MotoGP, dengan Hafizh Syahrin dan Jorge Lorenzo sebagai penunggangnya?

Sumber imej: MotoGP

Pasukan MotoGP Malaysia Bakal Muncul Pada Tahun 2019?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]