Betul Ke Hafizh Syahrin Penunggang MotoGP Malaysia Yang Pertama?

Sumber imej: MotoGP
  • Ada sesetengah pihak telah bertanya, adakah Hafizh Syahrin penunggang MotoGP Malaysia yang pertama.
  • Selepas selesainya sesi ujian MotoGP di Thailand, kita tidak boleh nafikan lagi yang Hafizh adalah penunggang dari Malaysia yang pertama mengemudi motosikal MotoGP 1,000cc era moden ini.
  • Pengesahan muktamad akan datang dari pasukan Monster Yamaha Tech3 sama ada Hafizh Syahrin akan menjadi penunggang MotoGP kelahiran Malaysia pertama yang akan bertanding dalam kelas premier pada musim ini.

Sumber imej: MotoGP

Ianya satu minggu yang cukup mengujakan bagi peminat MotoGP di Malaysia kerana Hafizh Syahrin telah terpilih untuk menyertai sesi ujian pra musim MotoGP di Litar Antarabangsa Buriram. Mengemudi jentera Yamaha M1 bagi pasukan Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin telah mencipta sejarah sebagai penunggang Asia Tenggara pertama yang menunggang motosikal MotoGP 1,000cc era moden ini.

Sumber imej: MotoGP

Persoalan sama ada hafizh Syahrin adalah penunggang GP Malaysia pertama telah bermain di fikiran kerana ramai orang telah bertanya akan hal ini. Sama ada ianya benar atau pun tidak, ianya bukan satu hal yang besar berbanding apa yang telah dicapai oleh Hafizh. Tetapi, sebagai penjelasan, mari kita singkap kembali sejarah gemilang negara dalam dunia perlumbaan motosikal.

Oh Kah Beng yang sedang bertarung dengan Keiji Kinoshita di Batu Tiga, 1980 (Sumber imej: Facebook

Apabila bercerita zaman kegemilangan perlumbaan GP, terdapat begitu ramai bakat-bakat hebat negara, namun, dua nama ini pasti antara nama paling awal yang terlintas di minda kita. Yang pertama sekali sudah pasti adalah Oh Kah Beng, atau lebih dikenali sebagai “Foreman Oh”. Dengan kerjaya yang gemilang pada tahun 1960-an dan 1980-an, Oh Kah Beng, bersama dengan pelumba-pelumba handalan yang lain seperti Kuan Huah Chin, yang lebih dikenali sebagai “Bulldog Kuan”, mendominasi kancah perlumbaan GP kebangsaan.

Oh Kah Beng juga mempunyai pengalaman perlumbaan pada peringkat antarabangsa di mana dia mengambil bahagian dalam perlumbaan-perlumbaan seperti GP Indonesia dan GP Macau. di mana dia berpeluang berlumba dengan beberapa orang penunggang ternama yang lain. Salah satu pencapaian terbesarnya adalah pada tahun 1982, di mana dia menduduki tempat kedua di belakang penunggang legenda dari Australia, Wayne Gardner.

Most Interesting Biker –Oh Kah Beng

Malangnya, Oh Kah Beng tidak dapat meneruskan kerjaya perlumbaannya akibat beberapa kecederaan serius yang telah dialami dan oleh kerana itu, dia tidak pernah menyertai siri perlumbaan MotoGP. kerjaya perlumbaan jalan rayanya berakhir pada tahun 1991, di mana dia memenangi kejuaraan perlumbaan kebangsaan terakhirnya sebelum menyertai Proton. Dengan berakhirnya kisah “Foreman Oh” di sini, kita teruskan kepada nama berikutnya, iaitu yang tidak lain dan tidak bukan, Shahrol Yuzy.

Sumber imej: Yamaha Motor

Shahrol Yuzy adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam kancah perlumbaan motosikal di Malaysia dan dia masih lagi aktif, pada waktu ini sebagai pemilik pasukan perlumbaannya sendiri dalam siri perlumbaan Malaysian Cub Prix. Zaman kegemilangannya bermula pada tahun 1990-an, di mana dia mengecapi kejayaan yang membanggakan dalam beberapa buah perlumbaan yang diiktiraf FIM seperti Asian Road Racing Championship, Spanish Championship, dan juga European Road Racing Championship.

Nama melonjak naik pada tahun 1996, apabila dia telah menyertai kategori 250cc MotoGP, yang pada waktu itu merupakan kelas pertengahan (yang kini dikenali sebagai Moto2) dalam siri perlumbaan tersebut. Bersaing dengan nama-nama tersohor seperti Max Biaggi, Shahrol menyertai perlumbaan sebagai penunggang ‘wildcard’, namun, peluang keemasannya tiba pada tahun 2000 di mana dia menjadi penunggang sepenuh masa dalam kelas 250cc bersama dengan pasukan Petronas Yamaha TVK selama tiga tahun.

Shahrol Yuzy sewaktu MotoGP Malaysia 2002 (Sumber imej: MotoGP

Pada waktu itu, terdapat tiga kelas perlumbaan, 125cc, 250cc, dan kelas premier, 500cc, di mana Kenny Roberts Jr. telah ditabalkan sebagai juara dunia MotoGP tahun 2000. Dia diekori rapat oleh seorang penunggang muda yang bernama Valentino Rossi dan juga seteru utamanya pada waktu itu, Max Biaggi. Jadi, dari segi teknikalnya, Shahrol Yuzy pernah berlumba dalam MotoGP, tetapi dalam kelas pertengahan 250cc.

Shahrol Yuzy sewaktu MotoGP Malaysia 2002 (Sumber imej: MotoGP

Setelah menyingkap kembali sejarah, kita telah sampai ke masa kini, ketika Hafizh Syahrin membuat tunggangan sulungnya di atas jentera Yamaha M1 yang telah diberikan oleh pasukan Movistar Yamaha MotoGP yang mana kita tahu telah dianggotai oleh Valentino Rossi dan Maverick Viñales. Jadi, apabila kita berkata mengenai jentera MotoGP masa kini yang digunakan dalam kelas premier, tidak syak lagi yang Hafizh Syahrin adalah penunggang Malaysia pertama yang mengemudi jentera sebegini.

Sumber imej: MotoGP

Setakat ini, hanya SIC sahaja yang telah mengesahkan yang Hafizh akan bertanding pada tahun 2018 bersama dengan pasukan persendirian MotoGP tersebut, bersama dengan teman sepasukan yang amat berbakat, Johann Zarco. Pasukan Tech3 hanya mengatakan bahawa Hafizh telah dipilih untuk ujian MotoGP Thailand namun memandangkan prestasi Hafizh sewaktu ujian berkenaan, dia mempunyai peluang yang cerah untuk diserap sebagai penunggang sepenuh masa dan dengan itu, bergelar penunggang MotoGP pertama Malaysia.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Pescao! Seluruh negara menyokong anda!

MotoGP: Hafizh Syahrin Gembira Dengan Kemajuan Hari Pertama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.