MotoGP: Hafizh Syahrin Gembira Dengan Kemajuan Hari Pertama

  • Ujian kali pertama di atas jentera Yamaha M1 untuk Hafizh Syahrin ternyata menunjukkan kemajuan yang ketara pada Ujian Buriram MotoGP 2018.
  • Walaupun berada di kedudukan terakhir, penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech3 itu hanya berada 0.4 saat di belakang seorang lagi penunggang ‘rookie’, Tom Luthi (Marc VDS).
  • Hafizh Syahrin adalah penunggang Malaysia pertama yang mengemudi jentera MotoGP zaman moden.

Hafizh Syahrin, pelumba dari Malaysia yang telah menjadi penunggang pengganti di saat terakhir bagi pasukan Monster Yamaha Tech3, tampak agak gembira dengan persembahannya pada hari pertama ujian pra musim di Thailand. Diadakan di Litar Antarabangsa Buriram, Hafizh telah menjadi penunggang dari Asia Tenggara yang mengemudi jentera MotoGP zaman moden.

Walaupun berada di tempat yang terakhir pada hari yang pertama, penunggang berusia 23 tahun itu tidak jauh ketinggalan berbanding dengan penunggang ‘rookie’ yang lain yang telah menunggang jentera MotoGP masing-masing dengan lebih lama. Pada hujung hari pertamanya, dia hanya ketinggalan sejauh 0.4 saat sahaja di belakang Tom Luthi (Macr VDS).

Apabila ditanya mengenai jentera Yamaha M1 tunggangannya itu, Hafizh telah berkata, “Pertama sekali, ianya satu jentera yang menakjubkan, jauh lebih pantas…setiap kali saya memecut ianya meluncur laju bagaikan sebuah jet di jalan yang lurus! Terdapat banyak perbezaan pada tayarnya, kami ada kawalan mulaan dan cengkaman…bagi saya ianya amat membantu sewaktu keluar dari selekoh, sewaktu anda memulas pendikitnya, motosikal ini cukup stabil. Saya tidak sabar untuk terus menunggangnya bagi lebih memahaminya.”

“Saya rasa bagus sekali dengan motosikal dan pasukan ini. Mereka memahami bahawa ianya kali pertama saya berada di sini. Ianya agak baik sekali, saya memperbaiki masa pada setiap sesi yang saya sertai dan untuk hari pertama saya berada di sini, saya rasa ianya amat positif sekali. Saya tidak begitu jauh ketinggalan berbanding dengan kelompok hadapan, tidak jauh dari Luthi. Dan saya sedang mencuba untuk merapati mereka selangkah demi selangkah.”

Hafizh telah menyempurnakan sejumlah 70 pusingan pada hari Jumaat lalu di atas motosikal Yamaha M1 yang merupakan motosikal yang digunakan oleh pasukan Movistar Yamaha MotoGP pada tahun lalu. Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan Hari 2.

Sumber MotoGP

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.