- Pasukan SIC Racing Team telah menemui penunggang tetap mereka yang baru dan ianya adalah Niki Tuuli, penunggang bagi siri perlumbaan WorldSSP dari Finland.
- Penunggang berusia 22 tahun itu telah memulakan kerjaya penunggangan WorldSSP-nya pada lewat tahun 2016 namun telah menunjukkan prestasi yang telah mengagumkan ramai orang.
- Ketua Pegawai Eksekutif Litar Sepang, Dato’ Razlan Razali yakin yang Tuuli akan mampu menjadikan SIC Racing Team lebih berdaya saing.
Selepas satu pengumuman yang tidak dijangkakan mengenai Zulfahmi Khairuddin menamatkan musim rookie Moto2 2018-nya dengan serta-merta, pasukan SIC Racing Team telah membuat satu lagi kejutan dalam bentuk penungggang penggantinya. Penunggang kelahiran Finland dalam siri perlumbaan WorldSSP, Niki Tuuli, akan mengemudi jentera Kalex bermula pada pusingan yang seterusnya yang akan berlangsung pada hujung minggu ini di HJC Helmets Grand Prix de France.
.@NikiTuuli ?? joins SIC Racing Team in Moto2.
➡ https://t.co/lzDyFBoCeM#WelcomeNiki #Moto2 #SICRacingTeam pic.twitter.com/KWFn0QxGgk
— SIC Racing Team™ (@sicracingteam) May 14, 2018
Penunggang berusia 22 tahun dari Finland itu telah mengecapi beberapa kejayaan yang membanggakan dalam siri perlumbaan WorldSSP, walaupun masih muda. Dia telah menyertai siri perlumbaan ini pada lewat tahun 2016 dan dengan hanya berbakikan empat pusingan, dia mengejutkan semua dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-dua dalam setiap pusingan.
Menurut Tuuli, “Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SIC Racing Team kerana memberikan saya peluang ini. Saya benar-benar teruja dan bersedia menghadapi cabaran mendatang. Menyertai Moto2 adalah salah satu impian saya dan kini ianya telah menjadi kenyataan.”
“Saya telah menunggang motosikal 600cc sejak tahun 2012; enam tahun pertama bersama Yamaha dan kini pada musim ini saya menunggang bersama Honda. Sudah pasti, Moto2 amat berbeza berbanding Supersport tetapi pasukan SIC Racing Team adalah sebuah pasukan yang baik dengan pengalaman yang luas, jadi dengan bantuan mereka, saya yakin saya dapat serasikan diri dengan baik sekali dalam kelas Moto2,” tambah Tuuli.
Menurut Dato’ Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Sepang (SIC), “Seperti yang telah dikatakan oleh Hafizh Syahrin Abdullah, tiada penunggang Malaysia yang lain yang mampu berdaya saing dalam Moto2. Oleh kerana itulah kami telah mendekati Niki Tuuli, penunggang dari Finland berusia 23 tahun, dan seperti mana yang boleh anda lihat dari profailnya, dia mempunyai pengalaman luas dalam perlumbaan motosikal 600cc.”
“Kami tidak mahu pasukan ini wujud hanya supaya penunggang Malaysia boleh menyertainya, kami mahukan satu pasukan yang berdaya saing, kami inginkan kecemerlangan untuk pasukan ini, senantiasa meningkat dan bertambah wibawa. Malangnya, buat masa ini, kami tidak dapat menemui penunggang Malaysia yang sesuai untuk menyertai pasukan ini,” Tambah Dato’ Razlan.
Pusingan MotoGP yang berikutnya akan berlangsung pada hujung minggu ini di litar Le Mans Bugatti Grand Prix Race Circuit yang ikonik di Perancis. Mampukah SIC Racing Team memberikan cabaran baru dalam Moto2?