Zulfahmi Khairuddin Bersara Dari Moto2?

  • Ada berita telah melaporkan yang Zulfahmi Khairuddin telah memutuskan untuk bersara dari Moto2 dengan SERTA-MERTA.
  • Baru sahaja menamatkan empat pusingan, penunggang rookie Moto2 itu mengumumkan persaraannya setelah menghadapi kesukaran untuk mempamerkan aksi dan keputusan yang memuaskan.
  • Tiada lagi berita sama ada pasukannya akan meneruskan persaingan dengan penunggang gantian.


Tersebar satu berita lewat malam semalam mengenai salah seorang penunggang negara kita dalam MotoGP. Zulfahmi Khairuddin yang sedang aktif bersaing dalam kategori pertengahan Moto2 pada tahun ini, telah mengumumkan persaraannya selepas empat pusingan musim 2018 walaupun dia merupakan seorang penunggang rookie.

Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, Zulfahmi Khairuddin dan SIC (Sepang International Circuit) Racing Team telah mencapai kata sepakat dan ianya akan bermula SERTA-MERTA. Desas-desus telah mengatakan yang Zulfahmi tidak dapat mempertingkatkan tahap penunggangannya dari awal musim dan membuat keputusan untuk menamatkannya dengan segera.

Datuk Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif SIC telah berkata bahawa bagi menjadikan Zulfahmi berdaya saing dalam Moto2 adalah sesuatu perkara yang sukar, walaupun dengan pengalaman luasnya dalam WorldSSP. Dalam usaha untuk membolehkan Hafizh Syahrin menyertai MotoGP sewaktu pasukan Monster Yamaha Tech 3 sedang tercari-cari pengganti bagi Jonas Folger, Zulfahmi adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi mengisi tempat di Moto2 pada ketika itu.

Walau apapun keputusannya, kita perlu terima hakikat yang ini adalah tahun pertama Zulfahmi dalam siri perlumbaan Moto2 yang amat berdaya saing ini. Walaupun jentera yang digunakan berkapasiti sama seperti yang telah digunakan sewaktu bertanding dalam WorldSSP, jentera Kalex bukannya sesuatu yang boleh dimahiri dengan sekelip mata.

Sebagai seorang penunggang rookie yang mempunyai potensi yang besar,keputusan perlumbaannya itu selari dengan apa yang boleh kita jangkakan daripadanya. Kami di MotoMalaya mendoakan kejayaan masa depan Zulfahmi Khairuddin dan juga untuk pasukan SIC dan berharap segala urusan mereka akan berjalan dengan lancar.

Teruskan kekal bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

Sumber imej: SIC & MotoGP

Pasukan MotoGP Malaysia Bakal Muncul Pada Tahun 2019?

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]