MotoGP: Miguel Oliveira Sertai Tech 3 Bagi Musim 2019

  • Miguel Oliveira akan berpindah ke kelas MotoGP pada musim 2019 setelah menandatangani perjanjian baru bersama pasukan Tech 3.
  • Penunggang kelahiran Portugal berusia 23 tahun itu bakal menjadi penunggang pertama yang telah melalui keseluruhan sistem Red Bull KTM.
  • Bermula dengan Red Bull Rookies Cup, sehinggalah ke MotoGP, Oliveira merupakan bintang harapan baru yang telah berjaya menghadiahkan sejumlah kemenangan perlumbaan di sepanjang kerjayanya.

Pesaing utama dalam kejuaraan Moto2 tahun ini, Miguel Oliveira, akan berpindah ke kelas premier MotoGP pada tahun 2019. Ini telah disahkan di Jerez pada hujung minggu lalu sewaktu dia memeterai perjanjian bersama pasukan Tech 3. Oliveira juga bakal menjadi penunggang pertama yang telah melalui keseluruhan sistem Red Bull KTM sehinggalah ke kelas MotoGP.

Penunggang berusia 23 tahun dari Portugal itu telah memulakan kerjaya perlumbaan antarabangsanya dalam siri Red Bull Rookies Cup dan pada tahun 2015, dia memulakan perjalanan Moto3-nya dengan pasukan Red Bull KTM Ajo. Dia telah berjaya mengagumkan semua orang dengan kemahiran menunggangnya, walaupun sebagai seorang penunggang rookie, apabila dia berjaya merangkul enam kemenangan dan sembilan penamat di atas podium.

Dia kemudiannya telah berpindah ke kelas Moto2 pada tahun yang berikutnya dan pada tahun 2017, dia sekali lagi berjaya menarik perhatian ramai dengan sejumlah sembilan kemenangan perlumbaan dan tiga penamat podium. Dia menamatkan musim di anak tangga ketiga di belakang Franco Morbidelli dan Thomas Luthi, yang kini berada dalam kelas MotoGP sebagai penunggang rookie bagi pasukan Marc VDS.

Menurut Oliveira,”Ia masih di awal musim namun saya berasa amat gembira yang KTM telah rasa cukup yakin dengan perkembangan saya pada musim ini dan pada tahun lalu dan merasakan saya layak diberikan peluang berada dalam MotoGP. Saya berasa amat bersyukur atas kepercayaan mereka itu. Saya selalu terbayangkan untuk menyertai MotoGP. Saya telah tetapkannya sebagai sasaran dan berjayanya saya mencapai sasaran itu adalah sesuatu yang positif.”

“Musim Moto2 tahun ini masih lagi panjang, dan dengan termaktubnya perjanjian ini membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan terhadap penunggangan saya. Saya telah melalui keseluruhan langkah yang dalam sistem Red Bull dan KTM, bermula dengan Rookies Cup; Tidak silap sayalah yang pertama. Saya rasa yang ini telah membuktikan kepada penunggang lain yang mereka boleh yakin dengan projek yang dijalankan oleh KTM. Saya rasa saya memiliki kemahiran dan keazaman yang perlu bagi membolehkan saya beraksi dengan baik di atas jentera MotoGP,” tambah Oliveira.

Bagi 2019, KTM akan mengendalikan empat buah jentera KTM RC16 dalam kelas MotoGP, di mana 3 dari tempat tersebut telah pun disahkan. Johann Zarco dan Pol Espargaro akan mengemudi jentera pasukan pengilang Red Bull KTM Factory Racing, manakala Miguel Oliveira pula akan mengemudi jentera bagi pasukan Tech 3.

Tiada sebarang berita lagi mengenai siapakah yang bakal menjadi penunggang kedua pasukan tersebut namun nampaknya Herve Poncharal tampak yakin dengan penunggang rookie dan juga kebanggaan negara kita, Hafizh Syahrin. Terdapat lima orang penunggang rookie pada musim ini dan Hafizh pada waktu ini merupakan rookie kedua terpantas di belakang Franco Morbidelli.

Setakat ini, Hafizh berjaya mengutip sembilan mata dari empat pusingan yang pertama, yang mana meletakkannya di tempat ke-16 dalam kejohanan. Dia berkongsi kutipan mata yang sama dengan Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) dan lebih menakjubkan lagi, di hadapan barisan penunggang pasukan pengilang yang lebih ternama seperti Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini), Jorge Lorenzo (Ducati Team), Bradley Smith (Red Bull KTM Factory Racing)

Sumber imej: MotoGP

Pasukan MotoGP Malaysia Bakal Muncul Pada Tahun 2019?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.