- Marc Marquez (Repsol Honda) berjaya merangkul kemenangan perlumbaan keenamnya yang berturut-turut di litar Circuit of the Americas awal pagi ini.
- Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) berjaya mendapat rentaknya semula dan menamatkan perlumbaannya di tempat ke-dua.
- Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) berjaya mendapatkan tempat di atas podium buat pertama kalinya dalam dua perlumbaan berturut-turut untuk pasukan Suzuki dengan melintasi garisan penamat di tempat yang ke-tiga.
Walaupun dikenakan hukuman tiga tempat di atas grid yang telah menyaksikan penunggang pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, memulakan perlumbaan di tempat ke-empat di atas grid, juara bertahan tersebut yang juga pemegang rekod di litar Circuit of the Americas telah membuktikan dirinya sebagai pencabar yang perlu disaingi oleh penunggang yang lain pada tahun ini.
Di penghujung sebuah perlumbaan yang mendebarkan, Marquez muncul di tempat teratas namun ianya tidaklah semudah tahun-tahun yang terdahulu. Untuk kali ini, Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) telah berjaya memanfaatkan kedudukannya di baris hadapan perlumbaan dan meluru pantas ke hadapan mendahului perlumbaan di Selekoh 1. Marquez tidak jauh ketinggalan dan dengan pantas mengorak langkah untuk merampas kedudukan pendahulu.
Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP) bertungkus lumus bagi keseluruhan perlumbaan, sebelum dan selepas dia memintas Iannone. Dia berjaya mendapat tempat ke-dua di belakang Marquez, dan diikuti oleh Iannone, yang mana ianya kali pertama mereka berdua berada di atas podium untuk musim ini.
Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) telah memberi tekanan kepada teman sepasukannya pada bahagian awal perlumbaan, tetapi, tetap kekal di tempat ke-empat di garisan penamat perlumbaan. Andrea Dovizioso (Ducati Team) merupakan penunggang Ducati terpantas di tempat ke-lima, diekori oleh Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) di tempat yang ke-enam.
Dani Pedrosa (Repsol Honda) mempamerkan aksi yang cemerlang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-tujuh, seminggu selepas menjalani pembedahan untuk kecederaan di pergelangan tangannya. Dua buah jentera Ducati bertarung untuk tempat yang berikutnya di antara Tito Rabat (Reale Avintia Racing) dan Jack Miller (Alma Pramac Racing). Aleix Espargaro (Aprilia Racing Team Gresini) melengkapkan 10 teratas di litar COTAs.
Penunggang harapan negara, Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech 3), malangnya, telah mengalami kemalangan (high side) sewaktu Pusingan 9. Dia berada di P11 pada masa itu, bersaing dengan Jack Miller dan Aleix Espargaro. Berita baiknya, Hafizh dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan dari kemalangan tersebut.
Dengan keputusan yang diperoleh di “Grand Prix of the Americas”, Andrea Dovizioso kini muncul sebagai pendahulu kejohanan bagi musim 2018 dengan 46 mata. Dia diekori oleh Marquez dengan 45 mata dan Viñales di anak tangga yang ketiga dengan 41 mata. Hanya 8 mata membezakan lima penunggang teratas dan ianya akan menjadi lebih mendebarkan sebaik sahaja mereka tiba di Jerez, Sepanyol bagi perlumbaan “Gran Premio Red Bull de Espana”.
Sumber imej: MotoGP
MotoGP Amerika Syarikat 2018: Maverick Viñales Duduki Petak Pertama Di Amerika Syarikat