Royal Enfield Lancarkan Kedai Utama Di Shah Alam

  • Wakil pengedar dan kedai utama Royal Enfield telah dilancarkan secara rasmi di Shah Alam, Selangor.
  • Dikendalikan oleh RE Motorcycles Sdn. Bhd., kedai utama ini telah pun memulakan khidmat jualan serta selepas jualannya.
  • Rangkaian motosikal Classic, Bullet, dan Rumbler telah pun tersedia dengan lebih banyak model akan tiba pada masa yang akan datang.


Royal Enfield, yang juga merupakan “jenama motosikal tertua di dunia dengan pengilangan yang berterusan”, telah melancarkan wakil pengedar rasmi mereka yang pertama dalam negara di Shah Alam, Selangor, pada awal hari ini. Kedai utama mereka yang pertama tersebut terletak di Seksyen 15, Shah Alam, dan telah memulakan perkhidmatan jualan, selepas jualan, alat ganti, serta penyelenggaraan bagi jenama tersebut di dalam negara.

Jenama ini akan dikendalikan oleh RE Motorcycles Sdn. Bhd., yang berada di bawah naungan Chear Motor. Dengan nama yang tidak asing lagi di kalangan penunggang motosikal dalam negara ini, tidak menghairankanlah apabila ratusan pemilik motosikal dengan pelbagai model dari pengeluar berbeza berkumpul di bilik pameran tersebut bagi memberi sokongan.

Terdapat juga ramai pemilik motosikal Royal Enfield yang telah menghadiri majlis pelancaran rasmi ini. Apabila ditanya mengenai keberadaan dan ikutan jenama tersebut di Malaysia, Encik Muhammad Syahrul Abdullah, Ketua Operasi wakil pengedar berkenaan menyatakan “Kami mempunyai rangkaian motosikal ‘standard’ yang cukup hebat sebagai tunggangan dalam bandar, serta mempunyai kebolehan keseluruhan yang baik.”

“Kami juga akan mempunyai pelbagai model yang lebih khusus untuk keperluan khusus seperti touring, adventure, cafe racing, dan sebagainya. Bagaimana pun, model-model ini tidaklah terlalu ekstrim dalam penkhususannya, jadi, di samping memenuhi tujuan utamanya, ianya motosikal kegunaan harian yang baik serta motosikal serba guna yang hebat. Ini juga bermakna motosikal Royal Enfield adalah motosikal yang direka untuk memberikan kepuasan maksimum pada kelajuan jalan raya biasa dan menyeronokkan bagi penunggang yang baru mahu pun yang berpengalaman,” tambah Encik Syahrul lagi.

Mereka juga mempunyai rancangan besar untuk mengembangkan jenama tersebut secara ekstensif di seluruh negara sebagai sebahagian daripada rancangan tiga tahun mereka. Sekiranya ianya berjalan dengan lancar, kita akan bakal menyaksikan sekurang-kurangnya dua wakil pengedar Royal Enfield di setiap negeri termasuklah bagi Sabah dan Sarawak. Ke semua wakil pengedar mereka akan menyediakan perkhidmatan untuk mana-mana motosikal Royal Enfield, sama ada yang baru mahu pun lama, termasuklah untuk ‘grey import’.

Buat masa ini, mereka menawarkan rangkaian motosikal Classic, Bullet, dan Rumbler, yang terdiri daripada varian 350cc dan 500cc. Motosikal-motosikal ini telah ditetapkan harganya bermula dari RM28,388 hingga RM42.688 (harga atas jalan tanpa insurans). Model utama mereka, Continental GT akan diperkenalkan secara rasminya pada bulan hadapan dan akan dituruti oleh model yang dinanti-nantikan, Royal Enfield Himalaya.

Ini adalah satu permulaan yang baik bagi jenama berkenaan, dan ianya pasti akan bertambah hebat lagi dengan kehadiran dan ketersediaann rangkaian motosikal-motosikal klasik mereka sewaktu RE Motorcycles Sdn. Bhd. memenuhi keperluan dan permintaan pemilik motosikal Royal Enfield di dalam negara kita ini. Kami cuma berharap yang rangkaian terkini mereka, Thunderbird X, juga diperkenalkan di Malaysia dalam masa yang terdekat.

Royal Enfield Thunderbird X 2018 Diperkenalkan Di India! Dari RM9,374

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]