MotoGP Amerika Syarikat 2018: Maverick Viñales Duduki Petak Pertama Di Amerika Syarikat

  • Penunggang bagi pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Viñales, telah diangkat ke Petak Pertama.
  • Penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez, telah menetapkan masa terpantas namun akan bermula dari tempat ke-empat setelah dia dikenakan dengan hukuman tiga tempat di atas grid.
  • Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar) dan Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) melengkapkan barisan hadapan.


Sesi pusingan kelayakan di ‘Red Bull Grand Prix of the Americas’ semalam telah dipenuhi dengan drama sewaktu para penunggang bertarung bagi mendapatkan posisi permulaan yang terbaik bagi perlumbaan pada hari ini. Sesi kelayakan MotoGP tersebut telah menyaksikan penunggang bagi pasukan Repsol Honda dan juga juara bertahan telah menetapkan masa pusingan terpantas walaupun selepas terjatuh di Selekoh 13 sebelum itu.

 

Dengan catatan masa yang telah menempatkannya di Petak Pertama buat kali keenam di litar yang paling didominasi oleh Marquez, mereka menerima padah setelah para marsyal FIM mengenakan hukuman tiga tempat grid. Ini adalah akibat satu insiden yang hampir-hampir menyebabkan pertembungan di Q2 bersama dengan penunggang Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Viñales.

Sewaktu perlumbaan yang akan bermula pada awal pagi nanti (waktu Malaysia), Marquez akan memulakan perlumbaan di P4, di mana Viñales telah diangkat ke Petak Pertama. Andrea Iannone (Team Suzuki Ecstar), yang telah mula menunjukkan kebolehannya di litar ‘Circuit of the Americas’ ini telah mengagumkan semua orang sejak hari Jumaat lagi dan akan memulakan perlumbaannya di tempat ke-dua.

Penunggang bagi pasukan pengilang Suzuki itu diekori rapat oleh bintang pasukan Monster Yamaha Tech 3, Johann Zarco yang berada di tempat ke-tiga. Baris 2 grid telah diisi oleh para juara di mana Marquez berada di tempat ke-empat, diikuti oleh Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) di P5 dan Jorge Lorenzo (Ducati Team) di tempat ke-enam.

Pendahulu kejohanan bagi musim 2018, Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) tidak mampu menyaingi catatan masa para pendahulu, ketinggalan sejauh 0.8 saat di belakang mereka. Dia akan memulakan perlumbaan di tempat ke-tujuh, diikuti dengan Andrea Dovizioso (Ducati Team) dan Dani Pedrosa (Repsol Honda) di P9.

Penunggang harapan negara, Hafizh Syahrin (Monster Yamaha Tech 3), berhadapan dengan kesukaran sepanjang hujung minggu sewaktu Free Practise dan sesi kelayakan. Litar ini ternyata mencabar buat Hafizh dan jentera Yamaha M1-nya, namun, dia tetap penunggang rookie kedua terpantas di belakang Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu).

Ini pasti akan menjadi satu lagi perlumbaan yang menarik dengan kedudukan grid sebegini. Siap sedialah untuk bersengkang mata, sediakan secangkir kopi kerana perlumbaan Moto3 akan bermula pada tengah malam diikuti dengan Moto2 pada jam 1.20 pagi dan MotoGP pada jam 3 pagi nanti (waktu Malaysia).

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Suzuki Ingin Jorge Lorenzo Bagi 2019?

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]