“Satu Negeri, Satu Litar Lumba Dalam Masa 10 Tahun” – Khairy Jamaluddin

  • Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyatakan bahawa mereka sedang membangunkan pelan untuk sebuah litar lumba bagi setiap negeri dalam masa lima ke sepuluh tahun.
  • Beliau yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membuat pengumuman tersebut pada hujung minggu lalu sewaktu pusingan pertama Cub Prix Malaysia 2018.
  • Projek mereka yang sedang berjalan buat masa ini adalah projek Litar Sukan Permotoran Pahang di Jengka, Pahang, bernilai RM40 juta.

Sewaktu pusingan pertama Petronas AAM Malaysian Cub Prix 2018, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, telah mengumumkan yang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memfokuskan kepada pembinaan litar perlumbaan bagi setiap negeri sebagai sebahagian daripada pelan lima ke sepuluh tahun.

Pengumuman ini telah dibuat pada hujung minggu lalu di Tangkak, Johor, di mana beliau telah menghadiri acara perlumbaan kebangsaan. Dengan lebih ramai orang yang menunjukkan minat terhadap sukan permotoran, terutamanya di kalangan golongan yang lebih muda, inisiatif ini akan dapat membantu bakat-bakat muda tersebut untuk mengasah kemahiran perlumbaan mereka dengan cara yang betul bagi menyediakan mereka untuk pertandingan di peringkat antarabangsa.

Sumber imej: MotoGP

Inisiatif ini juga telah diumumkan dengan mengambil kira jumlah penonton yang hadir ke perlumbaan-perlumbaan yang berlangsung di dalam negara seperti MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Nampaknya, Kementerian Belia dan Sukan akan memberikan lebih banyak tumpuan terhadap kancah sukan permotoran negara, lebih-lebih lagi bermula pada tahun ini, di mana empat orang penunggang harapan negara akan bertanding dalam setiap kategori MotoGP, Moto2, dan Moto3.

Projek terkini kerajaan adalah pembinaan Litar Sukan Permotoran Pahang di Jengka, Pahang, yang meliputi litar perlumbaan 2.4km yang mampu menampungi 2,000 orang hadirin pada harga RM40 juta. Trend ini akan diteruskan di negeri-negeri lain di seluruh negara pada jangka masa sepuluh tahun, di mana diharapkan bagi setiap negeri akan ada sebuah litar perlumbaan yang khusus untuk sukan permotoran.

Ini akan membantu dalam memastikan kedua-dua penunggang serta penonton mempunyai saluran dan tempat yang sesuai bagi memenuhi keinginan untuk menyaksikan atau menyertai sukan permotoran di dalam negara. Selain daripada litar perlumbaan, KBS juga telah memperuntukkan sekitar RM15 juta bagi membantu dalam pembangunan sukan permotoran melalui program-program seperti Program Pembangunan Sukan Permotoran Negara.

Keberadaan mereka dalam Petronas AAM Malaysian Cub Prix 2018, terutamanya dalam kategori WIRA juga satu bukti kesungguhan KBS mendokong kancah sukan permotoran tempatan. Nampaknya masa hadapan sukan permotoran negara semakin cerah, tuan-tuan dan puan-puan. Diharapkan trend ini akan berterusan pada masa yang akan datang.

Mengapa Saya Pilih Hafizh Syahrin – Herve Poncharal

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.