Yamaha XMax 250 2018 Kini Boleh Didapati Di Malaysia! RM22,498!

  • Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan secara rasminya telah memperkenalkan skuter Yamaha XMax 250 2018.
  • Berkongsi DNA yang sama dengan TMax, skuter XMax 250 ini telah dilengkapkan dengan sebuah enjin satu silinder 250cc yang menghasilkan 22.5hp dan 24.3Nm tork.
  • HLYM telah menetapkan harga bagi skuter Yamaha XMax 250 2018 ini pada RM22,498.50 (harga asas beserta GST).

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dengan secara rasminya telah menyediakan skuter Yamaha XMax 250 2018 bagi pasaran dalam negara. Skuter ‘sporty’ 250cc itu telah dipratontonkan buat kali pertamanya pada bulan Januari yang lalu sewaktu HLYM melancarkan motosikal streetfighter Yamaha MT-09 2018 yang telah dikemaskini.

HLYM telah menunaikan janji yang telah mereka buat sewaktu mereka mengatakan bahawa skuter Yamaha XMax 250 2018 yang baru akan mula dijual bermula pada bulan Mac. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, skuter 250cc yang baru ini akan tiba di ke semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara pada hujung bulan ini.

Dijana oleh sebuah enjin satu silinder, 250cc, SOHC, dengan sejukan cecair, skuter XMax ini didatangkan dengan teknologi “Blue Core” Yamaha yang dikatakan mampu membekalkan keluaran kuasa dan tork yang menakjubkan, dan pada masa yang sama, mematuhi standard emisi Euro4.

Hasil keluaran kuasanya adalah sehingga 22.5hp pada 7,000rpm dan 24.3Nm tork maksimum pada 5,500rpm. Berbanding dengan motosikal Yamaha YZF-R25, skuter XMax 250 ini mempunyai keluaran kuasa yang lebih rendah tetapi jumlah tork yang lebih tinggi yang bermakna ia lebih mudah memecut dari kedudukan pegun sewaktu di lampu isyarat.

Skuter XMax 250 ini juga merupakan skuter pertama dalam kelasnya yang dilengkapi dengan aci engkol tempa yang diperbuat dari satu bahagian, padat, serta tegar. Ini menjanjikan prestasi serta kecekapan yang dipertingkatkan, di samping menyumbang kepada berat skuter yang ringan serta bunyi mekanikal yang rendah. Berdasarkan rupa bentuknya, skuter XMax ini sudah pasti berkongsi DNA daripada saudaranya yang lebih besar dan berkuasa, TMax.

Ciri tambahan yang lain termasuklah ABS, kawalan cengkaman, ruang simpanan bawah pelana yang besar, yang dapat memuatkan dua buah helmet ‘full-face’, sistem kunci pintar, lampu LED keseluruhan, panel instrumen LCD penuh, punca kuasa 12V untuk pengecasan peranti, palang pemegang boleh laras, serta penghadang angin, di samping kelengkapan yang lain.

HLYM akan menawarkan skuter Yamaha XMax 250 2018 ini pada harga RM22,498.50 (harga asas beserta GST) yang menggiurkan. Terdapat dua pilihan warna yang telah disediakan; Metallic White dan Rusty Bronze. Jadi, tunggu apa lagi? Kunjungilah pengedar sah Yamaha yang terdekat untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut,

Hong Leong Launches New MT-09 from RM 47,388

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.