- Pasukan Petronas Sprinta Racing Moto3 telah dilancarkan secara rasmi semalam di Litar Antarabangsa Sepang.
- Kerjasama yang baru di antara Petronas dan SIC ini telah menghasilkan arah tujuan baru pasukan berkenaan bagi tahun 2018.
- Kedua-dua penunggangnya, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki telah bersedia bagi menggalas cabaran bersaing dalam kelas Moto3.
Pasukan Petronas Sprinta Racing telah dilancarkan secara rasminya semalam di Litar Antarabangsa Sepang. Kerjasama di antara SIC dan Petronas ini sebagai penaja rasmi utama yang akan berjalan selama tiga musim akan menyaksikan penunggang Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki mengemudi jentera perlumbaan Honda Moto3 mereka bagi mengejar tempat di atas podium.
Pada beberapa bulan yang lalu, kerjasama ini telah diumumkan dengan harapan bagi mengangkat lagi kedua-dua belah pihak ini ke tahap yang lebih tinggi dengan menyerlahkan negara kita Malaysia sebagai tempat lahirnya bakat-bakat perlumbaan yang hebat. Dengan latihan serta tunjuk ajar yang betul, kedua-dua Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki sudah bersedia untuk membawa cabaran bagi musim 2018.
Apabila ditanya mengenai kerjasama tersebut, Pengurus Pasukan, Johan Stigefelt telah berkata, “Ianya membawa makna yang cukup besar untuk dikaitkan dengan sebuah jenama bernilai tinggi, yang mana telah pun mengecapi kejayaan hebat dalam Formula 1. Ini adalah satu permulaan kerjasama yang hebat, jadi ianya satu masa yang cukup mengujakan bagi kami semua. Kami akan bekerja keras bagi mencapai keputusan yang baik dan secara bersama saya berharap yang kami dapat meneruskan program kami dengan Adam dan Ayumu dalam Moto3. Saya berasa amat gembira dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pasukan PETRONAS Sprinta Racing”.
Penunggang berusia 19 tahun dari Malaysia, Adam Norrodin pula berkata, “Saya berasa amat gembira kerana PETRONAS Sprinta telah menyertai kerjasama ini; mereka adalah sebuah nama yang cukup besar dan terkenal dalam Sukan Permotoran, saya berasa amat berbangga kerana telah ditaja oleh mereka dan untuk membawa nama mereka. Saya berasa teruja tentang kerjasama ini dan sangat menanti-nantikan bermulanya musim ini.”
“Ini adalah musim ketiga saya dalam Kejohanan Dunia Moto3, jadi ianya satu tahun yang penting bagi saya. Saya mahu menjadi lebih baik lagi. Saya berasa amat yakin dan lebih berpengalaman sekarang, jadi saya rasa bersedia untuk memberikan keseluruhan usaha saya. Saya ingin secara konsisten berada dalam kedudukan sepuluh teratas untuk diri sendiri dan juga untuk pasukan; Saya ingin bersaing untuk kedudukan podium. Saya akan berusaha untuk menaiki podium dan membuatkan semua orang berasa bangga,” tambah penunggang bernombor 7 itu.
Ayumu Sasaki berasa amat teruja untuk tahun 2018 mengenai pendekatan serta hala tuju baru ini. Juara Red Bull Rookies Cup 2016 itu telah berkata, “Saya berasa amat gembira untuk menyertai pasukan ini. Bagi saya, PETRONAS Sprinta adalah salah sebuah penaja yang terbaik; mereka telah pun menaja pasukan kejuaraan dalam F1, jadi saya ingin memberikan usaha sebaik mungkin untuk mereka dalam kejohanan ini. Ini adalah tahun kedua saya dalam Moto3 jadi saya akan berusaha lebih keras berbanding sebelum ini; cuba untuk berada di kelompok hadapan dan bersaing untuk tempat di atas podium sekerap yang saya mampu.”
Musim 2018 akan bermula di Qatar pada 18 Mac 2018 di mana para penunggang akan bertarung sesama mereka di bawah lampu limpah Litar Antarabangsa Losail. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.
Sumber: SIC Racing Team