Honda Impian X – Langkah Kanan Pertama Boon Siew Honda Bagi Tahun 2018

  • Bilik pameran Honda Impian X yang pertama telah dilancarkan pada bulan yang lalu di Johor.
  • Bilik pameran konsep yang baru itu telah memberikan pengalaman serta keseronokan yang baru dalam membeli motosikal berkapasiti kecil di Malaysia.
  • Boon Siew Honda telah merancang untuk merombak keseluruhan pemasarannya dengan Impian X sebagai langkah pertama mereka diikuti dengan Pusat Honda BigWing.

Selepas pengenalan dan pelancaran bilik pameran Honda Impian X yang pertama di Malaysia baru-baru ini di Johor, kebanyakan daripada kita berasa cukup kagum dengan konsep bilik pameran tersebut di mana keseluruhan pembelian dan perkhidmatan selepas jualan motosikal telah dipertingkatkan lagi untuk memberikan manfaat dan keselesaan kepada semua pelanggan Boon Siew Honda.

Bilik pameran konsep Honda Impian X ini akan membawa proses jualan dan perkhidmatan selepas jualan ke tahap yang berikutnya dengan memberikan kepada pelanggan sesuatu yang tidak ditawarkan oleh kebanyakan bilik pameran dan bengkel motosikal berkapasiti kecil. Para pelanggan akan berasa selasa dan dialu-alukan sebaik sahaja memasuki bilik pameran Impian X, dan ianya di atas jasa fasiliti gaya hidupnya yang moden itu.

Minuman percuma, ruangan menunggu yang selesa lengkap dengan penghawa dingin, kawasan perkhidmatan penyelenggaraan yang terbuka dan mudah dilihat pelanggan yang menanti supaya mereka dapat memerhati dan mengawasi motosikal kesayangan mereka sewaktu mendapatkan perkhidmatan bagi memastikan ketenangan minda, dan yang terbaik sekali, WiFi percuma! Semuanya ada di bilik pameran Impian X bagi memastikan sebuah pengalaman yang selesa dan pada masa yang sama, luar biasa.

Kami berjaya menemuramah Dato’ Seri Wira Tan Hui Jing, Naib Pengerusi dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Encik Nobuhide Nagata, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, dan Encik Ker Sie Lian, Pengerusi Swee Seng Heng Motor Sdn. Bhd. (Impian X), bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rancangan mereka untuk Impian X dan bagi tahun 2018.

Ketiga-tiga individu hebat ini telah menyuarakan perkara yang sama apabila menerangkan konsep Impian X; keselesaan, luar biasa, dan ketenangan minda untuk pasaran motosikal berkapasiti kecil di Malaysia. Malah, bilik pameran ini adalah satu-satunya yang menyediakan fasiliti pada tahap ini untuk komuniti motosikal berkapasiti kecil di dalam negara.

2018 bakal menjadi satu tahun yang amat istimewa bagi Boon Siew Honda di mana mereka akan memperkenalkan lebih banyak bilik pameran Honda Impian X bermula dengan di Pahang, diikuti dengan pasaran-pasaran yang lain di seluruh negara, Bilik pameran Impian X ini bertumpukan semata-mata terhadap motosikal pengeluar berkenaan, sehingga 300cc dari segi jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Apa yang ditawarkan oleh Impian X untuk pasaran ini belum pernah dibuat sebelum ini dan sudah pasti akan melonjakkan namanya di kalangan pemilik motosikal berkapasiti kecil di dalam Malaysia.

Dengan 14 buah model yang baru dirancang untuk diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018, Boon Siew Honda mempunyai pelan yang hebat untuk maju ke hadapan dalam pasaran ini. Bilik pameran konsep Impian X mereka adalah hanya langkah pertama mereka yang mana ianya akan diekori rapat oleh Pusat Honda BigWing yang bertumpukan pada rangkaian motosikal berkapasiti besar Honda. Pusat BigWing yang pertama telah pun dilancarkan di Kuala Lumpur pada hujung minggu yang lalu.

Kedua-dua bilik pameran Impian X dan BigWing ini ada satu persamaan yang nyata; memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk setiap pelanggan mereka tidak kiralah model dan kapasiti motosikal tersebut. Bagi tahun 2018 ini, pastinya ianya satu tahun yang hebat bagi BSH dan pelanggan, sama ada yang sedia ada mahu pun yang baru.

Boon Siew Honda Lancarkan Bilik Pameran konsep Honda Impian X Baru

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]