KTM Malaysia Sahkan Panggilan Semula Brembo

  • KTM Malaysia telah mengesahkan arahan yang dikeluarkan oleh Ibu pejabat KTM di Austria.
  • Motosikal yang terjejas adalah sesetengah unit tertentu dalam rangkaian 1290 Super Duke.
  • Pihak KTM akan menghubungi semua pemilik motorsikal yang disahkan dalam masa yang terdekat.

Berikutan satu berita telah disiarkan sebelum ini mengenai panggilan semula brek Brembo yang melibatkan motosikal KTM, kami telah mendapat pengesahan dari KTM Malaysia bahawa sesetengah motosikal KTM 1290 Super Duke R dan KTM 1290 Super Duke GT tertentu juga turut terlibat.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai liputan yang telah kami buat sebelum ini, tekan pautannya di bawah ini.

Brembo Keluarkan Kenyataan Rasmi Mengenai Panggilan Semula Silinder Utama PR16

Panggilan semula ini khusus untuk motosikal yang telah dilengkapi dengan silinder utama Brembo PR16 yang selalunya digandingkan bersama angkup Monobloc Brembo M50.

Pengeluar brek yang terkenal dari Itali tersebut telah mengumumkan sebelum ini mengenai satu kemungkinan kecacatan pada omboh dalam silinder utama yang dikilangkan di antara tahun 2015 hingga 2017, menyatakan, “ketidaksekataan pada semua arah dalam bahan omboh berkenaan, di samping dengan kemungkinan adanya liang yang terhasil sewaktu proses suntikan, boleh menyebabkan terhasilnya rekahan dan dengan itu, kemungkinan kerosakan komponen.”

Omboh ‘polyphenylene sulfide’ (PPS) mungkin merekah selepas penggunaan keras yang di atas litar, atau dengan penggunaan kerap ABS, atau akibat terjatuh.

Brembo bakal menggantikan omboh plastik berkenaan dengan omboh buatan aluminium.

Motosikal KTM yang terjejas adalah:

1290 Super R 2015 – 2016
1290 Super Duke R SE 2016
1290 Super Duke GT 2016
Super Duke R dan 1290 Super Duke GT 2017 – 2018

Harap maklum bahawa model yang tidak dilengkapkan dengan silinder utama PR16 tidak termasuk dalam panggilan semula ini. Begitu juga bagi mereka yang memasang silinder utama tersebut sebagai kelengkapan ‘aftermarket’, juga tidak terjejas dengan panggilan semula ini.

KTM Malaysia menasihatkan para pemilik model motosikal yang telah tertera di atas untuk mengunjungi pengedar KTM sah yang berhampiran dalam masa yang terdekat bagi mendapatkan bantuan lanjut. Pihak KTM Malaysia juga akan menghubungi pemilik yang terlibat secara aktif berkenaan isu ini.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]