JPJ Sedang Menguji Skuter Kembara Honda X-ADV 2018

  • Beberapa buah gambar intipan yang menunjukkan JPJ sedang menguji skuter kembara Honda X-ADV 2018 telah mula tersebar luas di atas talian.
  • Ini bermakna bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan kini sedang menjalankan proses ‘Vehicle Type Approval’ (VTA) untuk skuter kembara Honda tersebut.
  • Skuter Honda X-ADV dijangka bakal tiba di Malaydia pada tahun ini bersama dengan motosikal Africa Twin.

Sumber imej: Pandu Laju

Beberapa buah gambar intipan yang menarik yang menunjukkan Jabatan Pengangkutan Jalan atau lebih dikenali sebagai JPJ telah menunjukkan yang mereka sedang menunggang uji skuter kembara Honda X-ADV 2018 yang terkini di sekitar Putrajaya. Ini hanya boleh membawa kita kepada satu kesimpulan, tuan-tuan dan puan-puan. Skuter kembara 745cc ini bakal tiba di Malaysia.

Sumber imej: Pandu Laju

JPJ selalunya akan menjalankan proses ini sebagai sebahagian daripada prosedur ‘Vehicle Type Approval’ (VTA) sebelum mod pengangkutan yang sebenarnya akan dibawa masuk ke dalam negara. Kita sudah sedia maklum bahawa Boon Siew Honda (BSH) mempunyai rancangan yang hebat bagi tahun 2018 dalam memperkembangkan lagi segmen motosikal besar mereka yang mana termasuklah membawa masuk skuter Honda X-ADV serta motosikal pujaan ramai, Africa Twin.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rancangan Boon Siew Honda memperkembangkan segmen motosikal kembara mereka bagi tahun 2018, TEKAN SINI.

Nantikan Kemunculan Rangkaian Motosikal Kembara Boon Siew Honda Bagi Tahun 2018!

Dengan penambahan pesat dalam bilangan penggemar penunggangan kembara di Malaysia, BSH telah merancang strategi mereka secara teliti bagi memperkuatkan serta mempelbagaikan segmen motosikal kembaranya yang mana ianya kini diterajui oleh motosikal Honda CRF250L dan Honda CRF250 Rally mereka. Motosikal-motosikal ini bagaimana pun lebih sesuai bagi mereka yang gemarkan pengembaraan ‘off-road’ berbanding di atas lebuh raya.

Bacalah ulasan tunggang uji eksklusif kami mengenai kedua-dua model Honda CRF250 dengan DISINI.

Tunggang Uji Honda CRF250L Dan CRF250 Rally

Kembali kepada skuter X-ADV, ianya sudah pasti sebuah jentera yang amat unik sekali yang dijana oleh enjin 745cc, sejukan cecair, silinder berkembar selari yang menghasilkan sekitar 57.6hp dan 68Nm tork maksima. Keseluruhan kuasanya itu dipacu ke roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan DCT (Dual Clucth Transmission – Transmisi Dwi Klac) serta pacuan akhir rantai yang mana dengan sentuhan satu butang, skuter itu bertukar menjadi sebuah skuter automatik sepenuhnya.

Spesifikasi hebat yang lain termasuklah fork hadapan terbalik 41mm boleh laras sepenuhnya, ruang simpanan bawah pelana sebesar 21 liter, tangki bahanapi 13.1 liter, mod tunggangan boleh pilih, dan bermacam-macam lagi. Dengan erti kata lain, skuter X-ADV ini sesuai untuk sebarang situasi penunggangan, tidak kiralah sekiranya anda ingin menuju ke tempat kerja atau pun jika anda merancang untuk melakukan satu penunggangan ‘off-road’ ke tapak air terjun yang terpencil yang tidak dapat dimasuki dengan kenderaan jalan raya yang biasa.

Skuter kembara Honda X-ADV 2018 ini dijangka bakal tiba dalam enam bulan yang pertama pada tahun ini dengan tanda harganya sekitar RM60,000.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.