Nantikan Kemunculan Rangkaian Motosikal Kembara Boon Siew Honda Bagi Tahun 2018!

 

  • Boon Siew Honda sedang merancang untuk mengembangkan lagi rangkaian motosikal mereka bagi tahun 2018 dengan lebih kurang sepuluh model terbaru.
  • Dua daripada model baru ini akan memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi motosikal kembara.
  • Selain daripada rangkaian Honda CRF250L 2017 yang telah diperkenalkan baru-baru ini, kita boleh nantikan kemunculan Honda X-ADV dan Africa Twin di tanah air kita pada tahun hadapan.

Dunia permotosikalan semasa telah menyaksikan lonjakan yang ketara bagi penunggang baru dan sedia ada yang lebih gemar kepada motosikal yang lebih serba boleh. Motosikal kembara, dwi-sukan, dan touring telah menangkap perhatian mereka yang mengingini sesuatu yang lebih daripada hanya sebuah motosikal cub tahap mulaan atau motosikal superbike yang mengagumkan.

Honda secara aktifnya telah memperkembangkan lagi rangkaian motosikal kembara mereka dengan penampilan beberapa buah model dan Boon Siew Honda mempunyai rancangan besar untuk membawa masuk model-model terbaru bagi tahun 2018 ini ke tanah air kita sepantas yang mungkin.

Sewaktu acara tunggang uji media motosikal Honda RC213V-S yang telah diadakan baru-baru ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), BSH telah mengumumkan bahawa rangkaian 2018 mereka akan terdiri daripada 10 buah model terbaru, termasuklah dua imej yang amat menarik yang telah dikaburkan, yang mana kami fikirkan adalah model skuter kembara, Honda X-ADV, dan sebuah model yang disanjung tinggi, Honda Africa Twin.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sesi tunggang uji Honda RC213V-S, TEKAN SINI.

Melihat pada motosikal Honda X-ADV, motosikal automatik atau skuter pasti merupakan perkara yang paling jauh di fikiran ramai apabila berbicara mengenai penunggangan kembara yang sebenar. BSH baru-baru ini telah memperagakan jentera yang dinanti-nantikan ramai ini sewaktu Honda Asian Journey 2017, bersempena dengan MotoGP Malaysia dan ianya tidak salah sekiranya kami katakan yang motosikal ini mencakupi intipati asas pemilikan sebuah motosikal; keseronokan menunggang.

Bagi motosikal Africa Twin pula, yang juga telah dikenali sebagai salah sebuah motosikal kembara yang paling berjaya di dunia, tiada satu pun di antara modelnya telah dibawa masuk secara rasmi ke dalam negara kecuali untuk beberapa buah ‘grey import’. Tampaknya, Boon Siew Honda telah merancang untuk mengubah hakikat itu menjelang tahun 2018 di mana kami jangka warganegara Malaysia akhirnya dapat mengimpikan untuk memiliki sebuah Honda Africa Twin serba baru yang diimport melalui saluran yang betul.

Buat masa ini, bagi mereka yang ingin mendalami dunia penunggangan kembara bolehlah memilih tawaran terkini mereka; Honda CRF250L dan Honda CRF250 Rally 2017. Dilancarkan hanya beberapa bulan yang lalu pada bulan Ogos, model-model ini telah dibina untuk keteguhan, penunggangan yang lasak dan ia juga menawarkan kelincahan dan keselesaan yang menakjubkan sama ada di atas jalan raya berturap mahu pun di atas jalan tanah merah.

Dijana oleh enjin 249cc, sejukan cecair, satu silinder, kedua-dua model CRF berkenaan menghasilkan 24.4hp dan 22.6Nm tork maksimum. Digandingkan dengan penggayaan yang dikemaskini serta baru, model CRF250L terbaru itu dihasilkan untuk menarik minat lebih ramai penunggang, terutamanya dari generasi muda untuk menyertai kancah dunia penunggangan kembara.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai model Honda CRF250L dan CRF250 Rally 2017, TEKAN SINI.

Ditetapkan harganya bermula dari RM24,378 (harga asas beserta GST), rangkaian motosikal Honda CRF250L sudah pasti sebuah jentera dengan harga yang mampu dimiliki, lengkap dengan kebolehan ‘off-road’ yang mengagumkan, yang juga dapat beraksi dengan hebat sekali di atas jalan raya. Pastinya motosikal-motosikal ini adalah pilihan yang baik bagi sebuah motosikal kembara sekiranya anda tidak boleh lagi bersabar menantikan kemunculan motosikal X-ADV atau Africa Twin.

Kami faham akan perasaan itu, kerana kami sendiri juga sudah tidak sabar. Tidak sabar untuk menantikan tibanya tahun 2018.