Bajaj Dominar Mengenepikan Yamaha FZ Dan Memenangi Anugerah Berprestij

 

  • Motosikal Dominar mengalahkan motosikal Honda Cliq dan juga Yamaha FZ 250.
  • Dominar juga telah memenangi dua anugerah utama yang lain, mengenepikan Benelli dan jenama-jenama lain.
  • Saksikan video tanggapan pertama kami di penghujung artikel ini.

Motosikal Bajaj Dominar yang berkapasiti 373cc baru-baru ini telah menggondoli anugerah paling berprestij untuk motosikal di India, trofi NDTV Two Wheeler of the Year 2018.

Dan dengan itu, motosikal Dominar ini telah mengalahkan motosikal Honda Cliq, dan yang lebih penting lagi, menewaskan motosikal Yamaha FZ 250 idaman ramai. Namun begitu, ianya bukanlah kali pertama Bajaj telah memenangi anugerah yang ikonik ini – pada tahun 2016 syarikat berkenaan telah memenangi anugerah berkenaan bersama motosikal Pulsar RS 200, pada tahun 2013 mereka memenanginya dengan Pulsar NS 200 dan pada tahun 2008, Bajaj telah memenangi anugerah itu bersama dengan motosikal Pulsar 220 DTSFi.

Motosikal Dominar telah memenangi anugerah berkenaan dengan jurang yang besar, memperoleh 330 mata daripada 420 mata, manakala motosikal Honda Cliq hanya memperoleh 302 mata.

Motosikal Dominar juga telah memenangi dua lagi anugerah yang lain, memenangi kategorinya dan ditabalkan dengan anugerah Premium Motorcycle of the Year (mengalahkan Benelli 302R, Versys-X 300 dan KTM 390 Duke) serta memenangi anugerah CNB Viewer’s Choice Two Wheeler of the Year, mendapat 45% daripada jumlah undian keseluruhan.

Baru-baru ini kami telah menunggang uji motosikal Bajaj Dominar 400 di litar uji Bajaj di Pune, India. Motosikal satu-silinder itu dikategorikan oleh Bajaj sebagai sebuah motosikal sports touring yang cukup berkebolehan menangani keperluan harian hidup dalam bandar, tetapi pada masa yang sama cukup sesuai bagi mereka yang gemarkan jentera untuk keseronokan hujung minggu atau kembara jarak jauh.

Ketua Pegawai Eksekutif NDTV, Suparna Singh, mempersembahkan anugerah yang diidami ramai kepada wakil Bajaj, Surneet Narang

Di atas litar, motosikal Dominar ini mudah untuk diramal kelakuannya serta jitu. Enjinnya menawarkan kuasa yang mencukupi dan sistem ABS motosikal ini membolehkan anda membrek lambat tanpa perlu risau akan rodanya terkunci. Di atas jalan raya, motosikal Dominar ini menawarkan posisi duduk yang selesa dengan pelana yang empuk, capaian ke palang pemegang yang selesa, posisi kaki yang baik walaupun untuk penunggang yang lebih tinggi dan juga bagus secara keseluruhannya.

Motosikal Dominar ini dilengkapi dengan teknologi tiga palam pencucuh Bajaj yang mana ianya membakar bahanapi dengan lebih bersih serta cekap. Ini memberikan motosikal Dominar berkenaan jangkauan bahanapi yang baik yang menjadikan motosikal itu sesuai untuk kegunaan harian dan juga penunggangan jarak jauh.

Motosikal Bajaj Dominar ini dijangka tiba di tanah air kita dalam suku pertama tahun 2018, di mana pada ketika itu ianya akan dikenali sebagai Modenas Dominar 400. Dan dengan harganya yang dijangkakan akan berada di bawah paras RM20,000, motosikal Dominar 400 ini merupakan motosikal yang paling dinanti-nantikan bagi tahun 2018, dan berdasarkan betapa hebatnya motosikal ini, kami jangkakan yang ianya bakal menjadi satu kisah kejayaan buat Bajaj dan Modenas.

TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Dominar 400. Dan jangan lupa untuk menyaksikan video tanggapan pertama kami di bawah:

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.