- Desas-desus mengenai juara WorldSBK, Jonathan Rea, berpindah ke MotoGP telah timbul sekali lagi.
- Selepas memenangi kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut bersama pasukan Kawasaki Racing Team (KRT), Rea bakal meneruskan kerjaya WorldSBK-nya sehingga hujung tahun 2018.
- Rea mengatakan bahawa dia hanya akan berpindah sekiranya ada kekosongan dalam pasukan pengilang MotoGP.
Setelah memenangi kejohanan WorldSBK buat kali ketiga berturut-turut dalam siri perlumbaan Kejohanan Dunia Superbike FIM, ramai orang telah pun memperdebatkan mengapa penunggang bintang bagi pasukan Kawasaki Racing Team (KRT), Jonathan Rea, masih belum mengorak langkahnya ke siri perlumbaan yang lebih mencabar iaitu MotoGP.
Dengan dominasi yang nyata di dalam siri perlumbaan WorldSBK, penunggang berusia 30 tahun dari Ireland Utara sekali lagi telah diajukan soalan ini di dalam sebuah temuramah bersama Cycle News. Dia mempunyai beberapa perkara yang ingin diperkatakan mengenai prospek yang amat menarik untuk berlumba di dalam siri MotoGP dengan jentera tercanggih.
Rea telah menyatakan bagi tahun 2018, dia akan meneruskan kerjayanya bersama pasukan yang sama beserta jentera perlumbaan yang sangat berkuasanya itu, Kawasaki Ninja ZX-10RR. Musim 2018 tampak akan menjadi lebih menarik lagi dengan beberapa perubahan peraturan namun Rea tetap kekal positif walaupun berhadapan dengan beberapa rintangan. Malah, dia telah mencatatkan masa yang lebih pantas berbanding beberapa buah motosikal MotoGP sesi ujian persendirian di litar Jerez.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bagaimana Rea dan jentera Kawasaki ZX-10RR tunggangannya itu mencatat masa yang lebih pantas berbanding beberapa buah jentera MotoGP di litar Jerez, TEKAN SINI.
Juara WorldSBK sebanyak tiga kali itu bagaimana pun telah mengatakan yang situasinya masih samar-samar selepas tahun 2018. Selain itu, kebanyakan kontrak penunggang dari kedua-dua siri WorldSBK dan MotoGP akan tamat pada akhir tahun 2018. Sudah pasti ada beberapa tawaran yang telah diusulkan kepada juara WorldSBK itu dalam usaha menariknya menyertai kancah MotoGP.
Kenyataan Rea sewaktu temuramah itu yang paling menonjol sekali adalah dia hanya akan berpindah ke MotoGP sekiranya terdapat kekosongan dalam pasukan pengilang MotoGP. Menurut Rea, “Saya tidak berminat untuk berpindah ke MotoGP dan bergelut di atas jentera yang kurang berdaya saing atau hanya berada dalam siri berkenaan hanya untuk menggelar diri sebagai penunggang MotoGP.”
“Saya rasa saya berhak mendapat peluang di atas jentera pengilang dan saya tahu sekiranya saya menyertai MotoGP dengan jentera yang sesuai, saya boleh melakukan tugas yang baik dan menampilkan potensi penuh saya. Hanya masa yang akan menentukannya. Kita tunggu dan lihat” tambah Rea pada penghujung temuramah itu.
Rea dan pengurusnya telah menerima pelbagai usul dari beberapa pasukan MotoGP namun tiada satu pun dari pasukan pengilang buat masa ini. Sekali lagi, Rea telah mengatakan, “Saya tidak berminat untuk berpindah ke sana hanya untuk memenuhkan grid. Saya ingin ke sana dengan motosikal yang bagus, yang saya rasa saya berhak mendapatkannya. Sekiranya saya dapat sebuah motosikal yang bagus, saya rasa saya akan dapat melakukan tugas yang baik.”
Rea sebelum ini telah pun berlumba dalam MotoGP dalam dua perlumbaan berbeza pada tahun 2012 di mana dia menggantikan Casey Stoner yang telah tercedera. Dari segi pengalaman, penunggang berusia 30 tahun itu mempunyai pengalam di dalam MotoGP di mana dia telah mengutip mata di kedua-dua perlumbaan berkenaan dengan kedudukan tertingginya adalah di tempat ke-tujuh.
Walau apa pun yang akan terjadi pada masa yang akan datang, tahun 2018 tampak pasti akan menjadi satu tahun yang amat menarik sekali buat kedua-dua siri perlumbaan ini namun hanya masa yang akan menentukan sama ada jika tahun 2019 akan menjadi tahun yang menggemparkan. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran
Sumber: MotoGP