Jonathan Rea dan Kawasaki Ditabalkan Sebagai Juara WorldSBK 2017

 

  • Jonathan Rea dan Kawasaki telah dinobatkan sebagai Juara WorldSBK 2017.
  • Kemenangan ke-12 bagi musim ini buat Johnny Rea dan KRT.
  • Rea telah mencipta sejarah sebagai penunggang pertama memenangi tiga kejohanan WorldSBK secara berturut-turut.

Jonathan Rea serta pasukannya, Kawasaki Racing Team (KRT) berjaya menjadi juara WorldSBK 2017 selepas meninggalkan pesaingnya dalam Perlumbaan 1 di Litar Magny Cours, Perancis, dengan berbakikan dua lagi pusingan serta lima perlumbaan.

Rea meluru ke hadapan dari permulaan petak pertamanya dan kemudiannya meninggalkan kelompok di belakangnya. Dia secara berterusan menjarakkan dirinya di sepanjang perlumbaan 21 pusingan dalam keadaan cuaca basah yang semakin kering yang merbahaya itu. Kemenangan terkininya ini merupakan kemenangan ke-12 buat dirinya musim ini, menjadikan Rea sebagai penunggang pertama dalam sejarah WorldSBK yang memenangi tiga kejuaraan secara berturut-turut.

Kemenangan bergaya Jonathan Rea di Litar Magny-Cours, Perancis pada hari Sabtu yang lalu telah memastikan takhta kejuaraan WorldSBK kali ke-tiga berturut-turut yang bersejarah, melintasi garisan penamat dengan jarak masa 16 saat di hadapan penunggang di tempat ke-dua, Marco Melandri (Aruba.it Racing – Ducati) dan Tom Sykes (Kawasaki Racing Team) melengkapkan tiga pelumba teratas.

Ianya merupakan penunggangan yang penuh cekal daripada teman sepasukan Rea, Tom Sykes, setelah penunggang berasal dari Yorkshire, England itu kembali beraksi dengan keputusan tempat ke-tiga, selepas menjalani pembedahan pada jarinya, kurang daripada dua minggu yang lalu – akibat kemalangan di Portimao. Sykes melengkapi podium pada perlumbaan ini setelah kehilangan tempat ke-duanya kepada Melandri di fasa terakhir perlumbaan.

Lima saat di belakang penamat tempat ke-tiga adalah Leon Camier yang sekali lagi menunggang dengan cemerlang bagi pasukan MV Agusta Reparto Corse. Di belakangnya dengan jarak masa 19 saat adalah rakan senegaranya, Alex Lowes (PATA Yamaha Official WorldSBK Team) yang melengkapkan senarai lima penunggang teratas.

Eugene Laverty (Milwaukee Aprilia) dan Leandro Mercado (IODARacing) berada di tempat ke-enam dan ke-tujuh, manakala Davide Guigliano (Red Bull Honda World Superbike Team) pula mendapat tempat yang ke-lapan.

Pada awal perlumbaan berlakunya satu kemalangan melibatkan Michael van der Mark (PATA Yamaha Official WorldSBK Team), yang turut menyaksikan Xavi Fores (BARNI Racing Team) terbabas, namun penunggang dari Belanda itu,Michael van der Mark, dengan hebat sekali telah bersaing semula dan menamatkan perlumbaannya di tempat ke-sembilan, di hadapa Chaz Davies (Aruba.it Racing – Ducati).

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya bagi perkembangan terkini dunia permotoran.

Sumber: WorldSBK

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.