- Pengeluar motosikal elektrik yang bertapak di Itali, Energica, telah dipilih sebagai pembekal enjin tunggal bagi Moto-e World Cup 2019.
- Selepas beberapa perbincangan, motosikal Energica Ego telah terpilih sebagai motosikal perlumbaan asas yang menghasilkan sekitar 140hp dan 195Nm tork maksima.
- Siri perlumbaan yang baru itu dikatakan untuk menginovasikan lagi dunia perlumbaan motosikal dengan motosikal superbike yang tercanggih tanpa sebarang hasilan emisi.
Selepas satu perbincangan yang panjang dan teliti di antara Dorna, FIM dan ke semua pihak yang terlibat, siri FIM Moto-e World Cup 2019 telah mendapat lampu hijau untuk bermula. Pengeluar motosikal elektrik dari Itali, Energica, telah dipilih sebagai pembekal enjin tunggal bagi detik bersejarah yang bakal tiba dalam kancah perlumbaan litar motosikal.
Motosikal yang akan digunakan dalam siri perlumbaan motosikal elektrik ini adalah Energica Ego. Ditala untuk perlumbaan, versi perlumbaan Energica Ego ini dijangkakan akan dapat menghasilkan lebih daripada 110hp dan 180Nm tork maksima kerana angka-angka ini telah pun sedia ada pada motosikal ‘street scrambler’ Energica EsseEsse9.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Energica EsseEsse9, TEKAN SINI.
Energica Motor Company telah dipilih untuk mengepalai siri perlumbaan FIM yang terkini ini disebabkan pencapaian mereka dalam mencipta motosikal perlumbaan janaan-elektrik buatan Itali yang pertama di dunia. Menuju ke masa hadapan, motosikal perlumbaan elektrik dikatakan mempunyai lebih banyak kuasa kuda dan tork tanpa sebarang pencemaran yang terhasil daripada penggunaan enjin pembakaran dalaman yang biasa.
Menurut Presiden FIM, Vito Ippolito, “FIM berasa amat berbesar hati menyokong pembangunan teknologi terkini, yang mana salah satu contohnya adalah siri FIM Moto-e World Cup yang baru. Energica telah membuktikan dirinya pendahulu yang berkemahiran dan diyakini dalam sektor ini dan dengan sokongan Dorna yang amat cekap kami pasti yang kami berada di landasan yang akan mencapai kejayaan.”
Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Expeleta juga telah menambah yang “FIM Moto-e World Cup adalah sebuah projek baru dan mengujakan bagi Dorna, dan ianya menjadi kehormatan bagi kami untuk mengumumkan yang Energica akan menjadi pembekal dalam usahasama ini. Kami mementingkan kecermelangan, kualiti, dan prestasi dan kami merasakan tiada rakan kerjasama yang lebih baik untuk melancarkan siri FIM Moto-e World Cup ini selain mereka. Energica adalah sebuah syarikat yang inovatif dan merupakan pendahulu industri dan kami akan mempamerkan pertunjukan hebat perlumbaan janaan elektrik bersama.”
Sumber: MotoGP