Tahun 2018 Menandakan Kembalinya Motosikal Moden Klasik Kawasaki!

  • Tahun 2018 telah menandakan kembalinya motosikal moden klasik Kawasaki dengan pengenalan motosikal Kawasaki Z900 RS dan Z900 RS CAFE RACER.
  • Selepas bertahun lamanya motosikal Kawasaki W900 menjadi satu-satunya pilihan rangkaian ‘Heritage’ mereka, Kawasaki telah muncul dengan dua motosikal moden klasik yang dinanti-nantikan untuk tahun 2018.
  • Kedua-dua motosikal Z900 RS dan Z900 RS CAFE RACER dijangkakan untuk tiba di bilik pameran di seluruh dunia bermula awal tahun hadapan.

Dekad yang lalu telah menyaksikan syarikat pengeluar dari Jepun, Kawasaki, membuktikan dirinya sebagai kuasa besar utama dunia dalam arena pengeluaran motosikal. Mereka bukan sahaja mempunyai pilihan motosikal yang paling pelbagai yang dapat memenuhi keinginan mana-mana penggemar motosikal, malah turut menghasilkan motosikal paling hebat yang ada pada masa kini.

Lihat sahajalah pada segmen motosikal lumba mereka, dengan motosikal Ninja mereka. Terdapat dari 250cc hingga ke 1,400cc, akan ada sebuah motosikal Ninja yang sesuai untuk sesiapa sahaja. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai rangkaian motosikal lumba Kawasaki Ninja, TEKAN SINI.

Tetapi, bagaimana pula bagi mereka yang meminati motosikal moden klasik? Bagi mereka yang tercari-cari sesuatu yang berbeza dengan sedikit gaya ‘ol-skool’ pada sebuah motosikal yang moden? Bagi tahun 2018, Kawasaki akan dapat menunaikan permintaan anda dengan cara yang terbaik sekali dengan pengenalan motosikal Kawasaki Z900 RS 2018 dan Kawasaki Z900 RS CAFE.

Mengambil ilham daripada motosikal legenda Kawasaki Z1 dari tahun 1970-an, motosikal Kawasaki Z900 RS telah diperkenalkan sebelum ini sewaktu Tokyo Motor Show 2017 dan ianya telah mengujakan seluruh dunia. Tiada motosikal yang dapat mencerminkan semangat sebenar warisan Kawasaki sebaik Z900 RS ini.

Selain daripada alur-alur garisannya yang lancar dan bergaya klasik, motosikal Z900 RS ini dilengkapi dengan enjin yang sama yang terdapat pada motosikal naked, Kawasaki Z900 ABS 2017, iaitu sebuah enjin sejukan cecair, empat-selari, 948cc. Selepas penalaan halus semula, motosikal Z900 RS ini menghasilkan 190hp pada 8,500rpm dan 98.5Nm tork maksima pada 6,500rpm. Kuasa yang cukup membanggakan bagi sebuah motosikal moden klasik.

Dengan rupa paras keseluruhannya yang malar segar, bermula dari tangki bahanapi berbentuk ‘teardrop’, ke lampu hadapan berbentuk bujur, motosikal Z900 RS ini telah dibawa ke zaman masa hadapan dengan spesifikasi terkini seperti klac ‘assist-and-slipper’, Kawasaki Traction Control (KTRC), kerangka trellis yang ringan, pelana ERGO FIT bagi disuaikan dengan penunggang berlainan ketinggian, serta bermacam-macam lagi.

Untuk membelek sendiri spesifikasi penuh motosikal Kawasaki Z900 RS 2018 ini, TEKAN SINI.

Jika anda inginkan sesuatu yang akan menarik lirikan mata ke mana sahaja anda pergi, salah satu cara yang terbaik untuk mendapatkan kesan sebegitu adalah dengan membuat kemunculan di atas motosikal Kawasaki Z900 RS CAFE 2018. Diperkenalkan sewaktu pertunjukan motosikal EICMA di Milan pada bulan lalu, ianya salah sebuah daripada sebilangan kecil motosikal yang telah mencuri tumpuan sepanjang pertunjukan berkenaan.

Menggunakan motosikal Z900 RS yang sudah cukup hebat itu sebagai asasnya, Kawasaki telah menerapkan sejumlah besar intipati motosikal cafe racer pada gabungan ini dan hasilnya cukup menakjubkan. Dengan palang pemegang berwarna hitam yang rendah, ke rekaan pelitup lampu hadapan yang kemas sekali, ianya bagaikan satu nafas yang segar dalam dunia motosikal cafe racer.

Dengan instrumentasi dwi-dial beserta dengan skrin LCD pelbagai-fungsi, ianya sebuah imbangan yang sempurna di antara tarikan penggayaan retro dan kefungsian moden. Kawasaki telah mempertingkatkan lagi tahap aura moden retro motosikal ini, hinggalah ke bahagian rodanya dengan roda tempaan bergaya-jejari Z900 RS CAFE ini.

Untuk melengkapkan rupanya itu, Kawasaki telah membuat keputusan yang tepat sekali dengan menggunakan skema warna ‘Vintage Lime Green’. Tidak dapat dinafikan lagi yang ianya hasil kerja cat yang terbaik sekali yang telah kami saksikan di pertunjukan EICMA pada tahun ini yang telah menyerlahkan ciri-ciri utama motosikal ini, termasuklah enjinnya yang bersih serta amat berkuasa, sejukan cecair, empat-selari, 948cc yang dilengkapkan dengan kemasan ekzos berusan satin.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kawasaki Z900 RS CAFE 2018 ini, TEKAN SINI.

Selepas bertahun lamanya menawarkan motosikal Kawasaki Z800 (yang kini telah dihentikan pengeluarannya) sebagai satu-satunya pilihan moden klasik dalam rangkaian ‘Heritage’ mereka, kebanyakan daripada kita tertanya-tanya sama ada Kawasaki telah melupakan sama sekali mengenai warisan mereka. Ternyata kita telah tersilap sama sekali.

Sebaik sahaja menyaksikan pengenalan motosikal Kawasaki Z900 RS dan Z900 RS CAFE, kami kini mengerti yang sesuatu yang hebat memerlukan masa untuk dihasilkan, dan tibanya tahun 2018 nanti, ianya akan menjadi satu masa yang baik sekali untuk “Let the Good Times Roll.”

KAWASAKI Z900 RS 2018

KAWASAKI Z900 RS CAFE 2018

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.