Kawasaki Z900RS CAFE 2018 – Si Perkasa Retro

 

 

  • Ingin memiliki motosikal retro yang berkuasa? Kawasaki Z900RS CAFE 2018 boleh membantu anda.
  • Pesaing terbaru dalam kancah motosikal cafe racer dari Kawasaki ini didatangkan dengan rekabentuk serta kemasan grafik yang cantik sekali, yang akan memikat para penggemar motosikal retro dan juga motosikal moden.
  • Enjin empat selari 948cc-nya itu mampu menjana sehingga 110hp dan 99Nm tork dan lengkap dengan pelbagai kelengkapan elektronik.

 

Sejak beberapa bulan yang lalu, dunia permotosikalan telah dihujani dengan pelbagai berita, ramalan, dan jangkaan mengenai kelahiran semula motosikal Kawasaki Z1 yang dianggap ramai sebagai salah sebuah motosikal tercantik sepanjang zaman. Motosikal Z900RS menepati segala jangkaan itu apabila ianya diperkenalkan di Pertunjukan Motor Tokyo 2017 TETAPI Kawasaki telah mengeluarkan senjata rahsianya di Milan pada minggu ini dengan motosikal Kawasaki Z900RS CAFE 2018.

Di mana motosikal Z900RS sendiri tampak cukup menarik sekali, motosikal Kawasaki Z900RS CAFE ini berada di satu tahap yang berbeza dan telah menggemparkan pertunjukan itu. Mengimbau kembali kepada zaman kegemilangan motosikal Z1 pada awal tahun 1970an, motosikal Z900RS CAFE ini didatangkan dengan rekaan dan skema warna paling menarik yang pernah kami lihat sejak sekian lama.

Palang pemegangnya yang hitam dan rendah itu mempertingkatkan lagi daya tarikan cafe racer yang tampak cocok sekali dengan penutup lampu hadapan gaya ‘bikini’-nya serta pelananya yang bersepadu dengan baik sekali dengan bahagian belakang motosikal berkenaan. Pakej ekzos dengan kemasan satin itu juga turut melalui proses penambahabaikan bagi memastikan yang bunyi dan aura keseluruhannya sesuai sekali dengan jiwa motosikal Z900RS CAFE.

Menurut Pengarah Kawasaki Motors Europe, Morihiro Ikoma, “Motosikal Z900RS CAFE ini memperluaskan tarikan kepada tawaran RS terkini dan melambangkan cogan kata model ini, iaitu ‘True Spirit’. Kawasaki mengambil masanya sebelum menjejakkan kaki ke dalam kancah moden klasik tetapi masa yang telah diambil itu sangat berbaloi. Motosikal Z900RS CAFE dan Z900RS mempunyai warisan dan ketulenan unik yang membezakannya sebagai motosikal asli.”

Roda tempa berbilang jejarinya juga telah diberikan perhatian premium bagi disesuaikan dengan bahagian-bahagian yang lain pada motosikal itu, bermula dari enjin ke casis hinggalah ke panel badannya. Hasilnya adalah antara sebuah motosikal cafe racer pengeluaran yang paling kemas rupa parasnya, yang pernah dihasilkan.

Di tengah-tengah jentera buas yang indah ini terdapat sebuah enjin empat selari 948cc yang menjana 110hp dan 99Nm tork. Dengan beratnya pada 216kg, motosikal Z900RS CAFE ini agak berat tetapi ianya pasti akan dilupakan sebaik sahaja penunggang memulas pendikitnya.

Bagi menjadikan motosikal ini lebih hebat lagi, Kawasaki telah melengkapkannya dengan sistem kawalan cengkaman KTRC mereka bersama dengan klac ‘Assist-and-Slipper‘ bagi memastikan anda tidak kehilangan sebarang kuasa sewaktu anda menunggangnya bersama rakan-rakan. Bayangkan anda menunggang si cantik in ke Lemang To’ki. Pasti ada sahaja mata yang melirik ke arahnya.

Kerangka casis trellisnya yang ringan bersama dengan fork hadapan terbalik 41mm dan suspensi ‘horizontal back link‘ adalah kelengkapan canggih yang telah diterapkan dari motosikal Kawasaki Z900 ABS 2017. Pakej yang lengkap fungsi dan rekabentuk ini membolehkan prestasi pengendalian hebat yang sedia untuk bersaing dengan mana-mana motosikal jalan raya yang ada di dalam pasaran sekarang.

Ciri-ciri menarik lain yang pada motosikal ini adalah pencahayaan LED sepenuhnya, kombinasi tolok kelajuan analog dan ‘rev counter‘ beserta dengan panel LCD dan penyerap hentakan belakang yang membolehkan pengubahsuaian untuk pramuatan dan juga lantunan.

Soalan utama yang berikutnya adalah bilakah motosikal ini akan tiba di Malaysia dan berapakah kos untuk memilikinya? Kerana penulis ingin sekali untuk memilikinya.

 

 

44 Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.