Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2018 Dilengkapi Dengan Kemaskini Sedia-Litar

 

  • Motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2018 telah diperkenalkan semalam di Pertunjukan EICMA yang sedang berlangsung di Milan, Itali.
  • Pengemaskinian yang terbesar pada motosikal SE ini adalah suspensi elektrik separa aktif Showa dengan pengesan gerakan bersepadu.
  • Roda aluminium tempa dan quickshifter dwi-arah yang diambil daripada motosikal ZX-10RR juga telah dilengkapkan pada motosikal ini.

Sekiranya motosikal Kawasaki Ninja H2 SE 2018 tidak cukup untuk mengujakan para hadirin di pertunjukan EICMA 2017 di Milan, Team Green telah mempertingkatkan lagi rangkaian motosikal superbike mereka dengan memperkenalkan motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R SE 2018.

Apa yang membuatkan motosikal ZX-10R SE 2018 begitu istimewa? Selain daripada kuasa kudanya yang besar, yang berselindung di sebalik kerangkanya itu, pakej casisnya juga telah dikemaskini terutamanya pada bahagian suspensinya. Atur cara suspensi elektronik separa aktif Showa serba baru telah ditambah yang mana ianya juga terdiri daripada beberapa buah pengesan gerakan dalaman bagi memodulasikan muatan dan gerakan untuk prestasi yang optimum.

Berdasarkan masukan maklumat hentakannya, kelengkapan elektronik itu akan mengukur beban yang dikenakan pada fork motosikal itu dan dengan serta merta menyesuaikan aturcara redamannya sewaktu anda memecut laju di atas jalan raya dan menangani selekoh bak seorang pelumba professional.

Sepasang roda aluminium tempa juga telah disertakan pada motosikal ZX-10R 2018 terbaru ini yang mana ianya kelengkapan yang sama dapat dijumpai pada jentera litar pemenang kejohanan mereka, Kawasaki ZX-10RR. Dengan adanya kelengkapan ini, motosikal ZX-10R SE ini pasti akan menjadi bertambah lincah dan tangkas sewaktu berada di atas litar. Menangani selekoh ‘chicane‘ yang tiada penghujungnya pasti bukan satu masalah bagi jentera buas ini. Ianya sesuatu yang menakjubkan memandangkan motosikal ini hanyalah seberat 210kg sahaja.

Hasil kuasanya kekal sama di 197hp pada 13,000rpm dan 113.5Nm tork maksima pada tahap 11,500rpm. Mengagihkan kuasa yang dijana oleh enjin empat selari, DOHC, sejukan cecair, 998cc ke roda belakang dipercekapkan lagi dengan kelengkapan terkininya iaitu quickshifter dwi- arah Kawasaki. Tidak perlu lagi anda menekan tuil klac untuk menukar ke gear lebih tinggi mahu pun gear yang lebih rendah.

Selain daripada skema warna barunya yang amat cantik itu, motosikal ZX-10R SE 2018 ini juga dilengkapi dengan tiga mod tunggangan yang berbeza; Road, Track, dan Manual. Dalam Mod Manual, anda boleh mengubahsuai perwatakan motosikal ini daripada 15 tahap aturcara yang berbeza untuk pemampatan dan lantunan suspensi. Dan ya, ianya dapat dilakukan sewaktu menunggang.

Harga? Tiada khabarnya lagi. Bila? Pada suatu masa di tahun hadapan.Tahap kehebatan? TIDAK.TERUCAP.DENGAN.KATA.KATA.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.