Kawasaki Ninja H2 SX 2018 Diperkenalkan – Jentera Super Touring Hijau Yang Garang

 

  • Kawasaki baru sahaja melancarkan jentera dicas lampau ketiga mereka dalam bentuk motosikal mesra kembara, Kawasaki Ninja H2 SX 2018.
  • Dua buah model yang berbeza boleh didapati; Kawasaki Ninja H2 SX 2018 dan Kawasaki Ninja H2 SX SE 2018.
  • Beberapa buah ciri menarik yang terdapat pada motosikal-motosikal ini adalah lampu menyelekoh, kawalan cengkaman, kawalan mulaan, kawalan bersiar elektronik, Kawasaki Cornering Management Function (KCMF) dan quickshifter dwi-arah.

 

Selepas dua tahun sejak pengenalan motosikal cas lampau Kawasaki Ninja H2 yang hebat, Team Green telah memutuskan yang motosikal muktamad bagi hari litar ini mempunyai potensi untuk menjadi sebuah jentera kembara muktamad. Dan itulah yang telah mereka lakukan dengan memperkenalkan jentera Kawasaki Ninja H2 SX 2018 yang baru.

Penambahan ketiga bagi rangkaian motosikal dicas lampau Kawasaki ini adalah sebuah jentera muktamad ‘sport-touring‘, yang memberikan penekanan besar pada aspek ‘sport‘-nya. Dengan pengalaman yang luas dalam teknologi aruhan paksaan, tambahan terkini dalam keluarga motosikal Ninja ini didatangkan dalam dua varian yang berbeza; Kawasaki Ninja H2 SX dan Kawasaki Ninja H2 SX SE (Special Edition).

Apakah keistimewaan motosikal Ninja H2 SX SE ini? Pertama sekali, ianya model motosikal Kawasaki yang pertama dilengkapi dengan paparan berwarna TFT serba baru. Ciri hebat lain yang terdapat pada motosikal ini adalah lampu menyelekoh, kawalan cengkaman, kawalan mulaan, kawalan bersiar elektronik, Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), dan yang sangat-sangat membantu, quickshifter bagi menukar ke gear lebih tinggi atau lebih rendah dengan pantas.

Merujuk kepada KCMF, sistem ini berfungsi bersama dengan unit dalaman IMU motosikal ini bagi membantunya dengan senantiasa mengawasi enjin, casis, brek, dan agihan kuasa kudanya bermula dari saat anda masuk selekoh sehinggalah sewaktu anda meluru pantas keluar darinya.

Pakej suspensinya telah disesuaikan pada kedua-dua bahagian bagi memastikan pengalaman menunggang yang optimum mengikut muatannya dengan melaraskan pengubahsuai pramuatan belakang kawalan jauhnya. Jadi, sama ada anda menunggang sendirian ataupun bersama pembonceng dan bagasi untuk perjalanan merentasi negara, anda akan sentiasa dapat menunggangnya dengan baik sekali ke tempat percutian kegemaran anda.

Kuasa kuda dan daya kilasnya didatangkan dalam jumlah yang besar atas jasa enjin empat-selari, 998cc yang dicas lampau yang menjana sejumlah 201hp dan lebih daripada 137Nm tork maksima. Anda mungkin rasa yang motosikal H2 SX terbaru ini pasti akan membebankan poket anda dengan penggunaan bahanapinya tetapi anda tidak perlu risau kerana Kawasaki telah berjaya memastikan tahap penggunaan bahanapinya sama seperti motosikal kembara Versys 1000 mereka.

Digabungkan pula dengan tangki bahanapi sebesar 19 liter, motosikal H2 SX 2018 ini telah memanjangkan lagi jarak tunggangannya, menjadikannya sebuah jentera ‘super tourer‘ yang amat berbaloi. Bagaimanapun, berat motosikal ini agak besar dengan 225kg apabila diisi penuh. Namun beratnya itu pasti tidak terasa sebaik sahaja anda memulas pendikitnya di jalan raya yang terhampar luas.

Harganya masih belum diumumkan lagi tetapi berdasarkan harga motosikal Ninja H2 yang sebelum ini, kami jangkakan ianya di sekitar tanda harga yang sama sekiranya anda ingin memiliki motosikal yang ‘jahat’ ini.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.