Karnival Motonation 2017 – “The Grand Finale”

 

 

  • Jelajah serta karnival Motonation 2017 telah pun berakhir semalam (3 Disember 2017) di PICC.
  • Acara ini telah menarik minat sejumlah besar badan korporat, syarikat dan penjual, serta pelbagai kelab.
  • Pemenang bagi pertandingan “AMD World Championship of Custom Bikes” bagi peringkat Malaysia sudah pun diumumkan.
  • Begitu juga pemenang bagi pertandingan Bakat Besi yang telah turut ditentukan pada acara ini.

1-3 Disember 2017, Putrajaya International Convention Centre (PICC) – Jelajah Motonation 2017 yang telah pun mengelilingi Malaysia buat beberapa bulan yang lalu telah diakhiri dengan acara utamanya pada hujung minggu yang lalu.

Bermula dengan hanya beberapa buah syarikat serta kenderaan yang telah dipamerkan sewaktu acara permulaannya itu, acara utama yang telah diadakan di PICC tampak gah sekali – memenuhi ruang dataran utama, berbilang dewan, serta keseluruhan ruangan luar – menampilkan segalanya yang berkaitan dengan gaya hidup automotif.

Ini bermakna setiap ahli keluarga dapat memenuhi masa mereka dengan pelbagai aktiviti serta tarikan yang berbeza, tanpa berasa jemu.


Sebagai contoh, di kawasan pameran utama telah diperagakan dengan pelbagai kereta, motosikal, serta sebarang produk yang berkaitan automotif. Terdapat juga tapak yang lebih kecil yang menjual jam tangan, cermin mata hitam, motosikal dan kereta mainan; JKJR juga turut hadir bagi menyampaikan mesej mengenai keselamatan jalan raya. Terdapat juga sebuah pertandingan menari, serta konsert di ruangan terbuka menampilkan kugiran-kugiran tempatan, salah satu daripadanya adalah kugiran ‘indie’ terkenal, OAG. Terdapat juga penjual yang telah memperagakan hasil kerja tangan mereka yang mengagumkan. Salah satu yang telah menarik perhatian kami adalah sebuah enjin replika Harley-Davidson Evolution yang telah diperbuat dari blok Lego secara sepenuhnya! Tayman Chua, seorang penggiat seni ‘airbrush’ telah menunjukkan kemahiran ‘airbrush’nya dengan ‘mentatu’ pengunjung- secara percuma!

Nama-nama utama dalam industri automotif negara juga turut hadir, termasuklah Petron, X-1R, WD-40, Modenas, Shell, Brisk, Audi, Ricoh, dan yang lain-lain.

Selain itu, nama-nama yang terkenal dalam kancah pengkhususan kereta dan motosikal negara juga turut menyertai karnival ini, seperti Eastern Bobber, Beautiful Machines MC, FNG Works, The Rusty Factory, Taymen Airbrushing dan ramai lagi nama-nama yang lain.

Bercerita mengenai Modenas, sebuah pertandingan yang berdasarkan pada motosikal mereka, yang telah dinamakan Peraduan Bakat Besi, telah menyaksikan ciptaan FNG Works memenangi pertandingan berkenaan, dengan ciptaan yang amat menarik sekali.

Selain itu, diadakan buat pertama kalinya di Malaysia, Motonation telah menjemput Neil Blaber daripada AMD Magazine sebagai juri bagi menghakimi pertandingan motosikal buatan khas yang akan menentukan wakil Malaysia semasa “AMD World Championship of Custom Bike Building 2018”. Ciptaan teramat radikal Eastern Bobber telah memenangi penghormatan untuk mewakili negara di Intermot. Pertandingan ini amat sengit sekali di antara pemenang, Eastern Bobber dan pesaing paling rapatnya, ciptaan Beautiful Machines.

Acara ini bermula dengan perlahan pada hari pertamanya (Jumaat), sebelum ianya semakin rancak pada hari Sabtu, dengan pengunjung membanjiri dewan-dewan serta ruangan luar pada hari terakhirnya (Ahad) itu.

Pada sebelah petang hari Sabtu, telah berlangsungnya sebuah demonstrasi ‘trial riding’, manakala pada hari Ahadnya pula telah berlangsung perlumbaan ‘pocket bike’.

Motonation juga telah mengadakan cabutan bertuah untuk pemegang tiket ke acara berkenaan, di mana Hadiah Utama cabutan ini adalah sebuah Audi A3, telefon pintar iPhone, iPad, serta pelbagai lagi hadiah-hadia yang menakjubkan. Para pemenangnya bakal diumumkan pada hari Jumaat yang akan datang.

Sudah pasti akan ada suara-suara kritikan, kerana tapak-tapak acara ini terlampau terpencil di antara satu sama lain di satu kawasan yang amat luas, selain daripada masalah-masalah yang lain, namun perlu diingatkan, yang ianya adalah tahun pertama Motonation dalam segmen acara automotif dan kebolehan mereka menarik minat sejumlah besar badan korporat yang berprestij, syarikat dan penjual, kelab-kelab kereta serta motosikal, dan mengadakan sebuah pertandingan motosikal buatan khas adalah pencapaian yang boleh dibanggakan. Sudah pasti Motonation akan mengambil pengalaman ini dan terus memperbaikinya untuk acara pada tahun-tahun yang akan datang.

Beleklah galeri gambar di bawah untuk melihat keseronokan acara tahun ini!

GALERI GAMBAR

 

Leave a Reply