MV Agusta Dragster 800 RR 2018 – “Si Samseng Mewah”

 

  • Motosikal MV Agusta Dragster 800 RR 2018 telah membuat penampilan sewaktu pertunjukan EICMA 2017 yang telah diadakan baru-baru ini di Milan, Itali pada minggu lalu.
  • Lencana RR telah diterapkan pada motosikal Dragster terbaru ini kerana ianya telah dilengkapi dengan beberapa pengemaskinian termasuklah enjin tiga selari 798cc yang patuh Euro4.
  • Motosikal Brutale 800 RR yang baru ini menghasilkan 140hp dan 86Nm tork maksima beserta dengan pelbagai kemas kini elektronik.

 

Sewaktu dalam kesibukan Pertunjukan Motosikal Antarabangsa Milan 2017 atau lebih dikenali sebagai EICMA 2017 di Itali pada minggu lepas, kita telah diperagakan dengan pelbagai motosikal yang baru sehinggakan ianya agak mustahil untuk memberi perhatian kepada setiap satu yang telah dipamerkan mahu pun yang dipersembahkan. Sebuah contoh yang terbaik adalah motosikal MV Agusta Dragster 800 RR 2018, sebuah motosikal yang serba baru bagi tahun 2018.

Kawasan pameran bagi MV Agusta telah dipenuhi dengan pelbagai motosikal edisi khas dan terhad sehinggakan ianya mudah untuk terlepas pandang akan motosikal Dragster 800 RR yang baru ini. Dengan hanya berdiri di situ di samping kehadiran motosikal yang dikhususkan istimewa MV Agusta RVS #1 dan F4 LH44 Lewis Hamilton telah cukup untuk membuatkan kami rambang mata.


Ianya cukup mudah untuk memahami mengapa kebanyakan daripada kami terlepas pandang motosikal Dragster terbaru ini kerana masing-masing terpesona dengan keindahan kedua-dua motosikal yang dikhususkan itu. Hakikat yang MV Agusta sendiri tidak mengumumkan motosikal terbaru ini juga turut menyumbang kepada kealpaan ini.

Bagi mereka yang sudah sedia maklum akan perasan yang motosikal Dragster 800 RR ini telah meminjam banyak elemen rekaannya daripada Brutale 800 sama ada pada reraup yang ketara perbezaannya, lampu hadapan, sehinggalah ke ekor motosikal ini.

Selepas menyelidikinya lagi, kami mendapati yang ianya juga didatangkan dengan enjin tiga silinder selari, 798cc, patuh Euro4 yang serba baru, kini menjana sehingga 140hp pada 13,100rpm dan 86Nm tork maksima pada 10,100rpm.

Ianya telah dicapai dengan bantuan pelbagai kelengkapan yang baru seperti peredam harmonik, penegang rantai-sesondol mekanikal yang baru, aci sesondol baru, pandu injap baru, dan pelbagai lagi kelengkapan yang lain. Ini telah menghasilkan pengeluaran kuasa yang lebih seimbang di samping mengekalkan prestasi optimal dan lancar selaras dengan garis panduan Euro-4.

Pakej elektroniknya juga telah dipertingkatkan dengan ketara bagi memastikan yang lencana RR itu melambangkan sesuatu yang berkuasa serta menakjubkan. Motosikal Dragster 800 RR terbaru ini dilengkapkan dengan kawalan daya kilas (tork) boleh pilih, kawalan cengkaman, MV EAS 2.0 (Electronically Assisted Shift up & down – Pertukaran Gear tinggi & rendah dibantu Secara Elektronik), dan bermacam-macam lagi. Hasilnya? sebuah motosikal ‘streetfighter‘ yang mampu mencecah kelajuan sehingga 245km/j dengan mudah sekali.

Pakej suspensi dan brek pada motosikal ini juga telah mendapat pengolahan RR. Di bahagian hadapannya, sepasang fork teleskopik USD 430mm boleh laras sepenuhnya Marzocchi yang dilengkapkan bersama dengan dua cakera brek 320mm beserta angkup empat omboh Brembo.

Pada bahagian belakangnya pula, sebuah penyerap hentakan progresif Sachs dengan lantunan dan mampatan, redaman dan pramuatan pegas boleh laras telah digandingkan bersama satu cakera brek 220mm beserta angkup dua omboh Brembo. Berfungsi bersama dengan Bosch 9 Plus dan sistem RLM (Rear Wheel Lift-up Mitigation), ianya sestabil sama mana ianya ganas.

Jenama MV Agusta ini menekankan kepada kemewahan kehidupan dan seperti mana kebanyakan barang-barang mewah, motosikal MV Agusta Dragster 800 RR 2018 sudah pasti mempunyai tanda harga yang mahal. Kami akan sampaikan perkembangan terbaru jika atau bila motosikal ini sedia untuk jualan.

GALERI MEGA MV AGUSTA @ EICMA 2017

 

 

Leave a Reply