MotoGP: Pertarungan Terakhir Antara Dovizioso Dan Marquez

 

 

  • Perlumbaan terakhir bagi musim MotoGP 2017 akan bermula pada malam ini pada jam 9.00 malam (waktu tempatan) di antara Andrea Dovizioso dan Marc Marquez.
  • Penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez sedang mendahului kejohanan bagi musim 2017 dengan 21 mata di hadapan penunggang pasukan Ducati, Dovizioso.
  • Satu-satunya cara untuk Dovizioso dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2017 adalah dengan memenangi perlumbaan hari ini dan berharap yang Marquez menamatkan perlumbaannya di tempat ke-12 atau yang lebih rendah.

 

Saatnya telah pun tiba, tuan-tuan dan puan-puan para peminat MotoGP. Pusingan terakhir bagi musim 2017 kini sudah tiba, selepas satu musim yang penuh dengan debaran. Dengan begitu banyak aksi, drama dan pertarungan yang menakjubkan, acara finalenya yang akan berlangsung di Valencia di mana perebutan bagi takhta kejohanan 2017 kini hanya di antara dua orang penunggang, Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda, dan Andrea Divizioso yang mewakili Ducati Team.

Baru-baru ini, kita telah menyaksikan kebangkitan semula Ducati yang telah mengecapi kegemilangan di mana satu-satunya kejuaraan MotoGP yang telah menjadi milik mereka adalah ketika Casey Stoner menjuarai kejohanan itu pada tahun 2008. Sejak beberapa tahun yang lalu, kita telah menyaksikan pelbagai peningkatan serta inovasi dari pengeluar dari Itali itu dan ianya tidak menghairankanlah apabila penunggang semasa mereka, Andrea Dovizioso dapat memberikan persaingan yang hebat kepada penunggang utama Honda, Marc Marquez.

Dengan hanya berbakikan satu perlumbaan, kelebihan yang ketara berada pada pihak Marquez yang berada 21 mata di hadapan Dovizioso. Ianya satu halangan yang cukup mencabar terutamanya bagi Dovi di mana pasukan dan penunggang dari Itali itu hanya mempunyai satu sahaja strategi untuk perlumbaan lewat hari ini; MENANG. Hanya dengan memenangi perlumbaan ini akan membolehkan Dovizioso menggondol takhta kejohanan MotoGP 2017 SEKIRANYA Marquez menamatkan perlumbaannya di tempat ke-12 atau yang lebih rendah.

Menamatkan perlumbaan di luar tempat sepuluh teratas adalah bukan satu kebiasaan bagi penunggang berbakat besar seperti Marc Marquez. Dengan enam kemenangan perlumbaan dan lima penamat di atas podium yang lain, Marquez merupakan kuasa dominan musim ini dengan hanya tiga DNF (Did Not Finish) untuk keseluruhan musim ini.

Dovizioso juga mempunyai rekod kemenangan yang sama dengan Marquez untuk tahun 2017 ini tetapi hanya dua penamat podium yang lain yang telah dicapainya. Berbanding dengan Marquez, hanya satu DNF sahaja buat Dovizioso pada musim ini namun keputusan perlumbaannya agak tidak konsisten dengan penamat perlumbaan yang paling rendah di tempat ke-13 di Australia.

Kesimpulannya, Dovizioso perlu menangani halangan yang besar ini semasa pusingan terakhir bagi musim ini. Marquez pula hanya perlu menunjukkan prestasi sederhana bagi merangkul takhta kejohanan bagi tahun 2017. Namun begitu, seperti mana yang dapat kita lihat dalam sejarah persaingan perlumbaan, ianya masih belum berakhir lagi.

Marc Marquez akan memulakan perlumbaan terakhir musim 2017 ini dari petak pertama manakala Andrea Dovizioso akan bermula dari petak ke-sembilan. Siapakah yang akhirnya akan menjulang takhta kejohanan untuk tahun ini? Saksikanlah ke semua aksi perlumbaan ini bermula dengan Moto3 pada jam 6.00 petang diikuti oleh Moto2 pada jam 7.20 petang dan acara finale MotoGP pada jam 9.00 malam (waktu Malaysia).

Sumber imej: MotoGP

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.