BMW F 750 GS Dan F850 GS 2018 – Motosikal Kembara Kelas Pertengahan Premium Untuk Rakyat Jelata

 

  • Motosikal BMW F 750 GS dan F 850 GS 2018 terbaru telah diperkenalkan pada minggu ini di EICMA 2017 di Milan, Itali.
  • Motosikal-motosikal kembara kelas pertengahan terbaru BMW Motorrad ini menawarkan “kebolehan pengembaraan dan perjalanan jarak jauh dengan kedinamikan yang ‘sporty‘ dan prestasi ‘off-road‘ yang lebih hebat.”
  • Kedua-dua motosikal ini dilengkapi dengan enjin selari dua silinder 853cc terbaru BMW, yang menghasilkan 77hp dan 83Nm untuk F 750 GS, dan 95hp dan 92Nm untuk F 850 GS.

 

Tawaran terkini daripada BMW Motorrad untuk segmen motosikal kembara kelas pertengahan mereka datang bukan hanya sebuah, tetapi dua buah model baru sepenuhnya. Kami berasa cukup bernasib baik dapat menyaksikan pelancaran motosikal BMW F 750 GS dan F 850 GS 2018 yang baru, motosikal kembara kelas pertengahan muktamad.

Bagi mereka yang sedang tercari-cari pakej yang moden, kompak tetapi pada masa yang sama tetap agresif dan jitu yang secara amnya dapat pergi ke mana sahaja perlu memberi perhatian kepada motosikal-motosikal ini. Dengan pengalaman meluas BMW Motorrad dalam mengeluarkan motosikal kembara tersohor seluruh dunia, tawaran kelas pertengahan terkini mereka ini menggabungkan “kebolehan pengembaraan dan perjalanan jarak jauh dengan kedinamikan yang ‘sporty‘ dan prestasi ‘off-road‘ yang lebih hebat.”

Motosikal F 750 GS lebih sesuai untuk penunggang yang inginkan jentera kembara lengkap yang kompak, dengan kuasa yang secukupnya beserta dengan ketinggian pelana yang rendah untuk mudah dinaiki menjadikannya jentera pelbagai kebolehan yang sempurna, manakala motosikal F 850 GS pula lebih sesuai bagi mereka yang inginkan kuasa kuda tambahan dengan kualiti pengembaraan dan kebolehan ‘off-road‘.

Kuasa kuda dan tork untuk kedua-dua motosikal ini datang dalam bentuk enjin selari dua silinder 853cc yang telah ditala untuk perwatakan yang berbeza. Bagi F 750 GS, ianya menghasilkan 77hp dan 83Nm tork manakala motosikal F 850 GS yang lebih tahan lasak pula menghasilkan 95hp dan 92Nm tork maksima. Rekaan aci engkol beserta aturan pembakaran yang baru untuk enjinnya itu menghasilkan bunyi yang ‘buas’ yang pasti akan meruntun mana-mana penggemar motosikal kembara.

Klac nyah-lompat, menguatkan-kendiri menghasilkan pengurangan yang ketara dalam tenaga yang digunakan bagi mengoperasikan klac tangan manakala pengurangan pada ‘engine drag torque‘ meningkatkan lagi keselamatan di atas jalan raya. Dua mod yang berbeza boleh didapati untuk kedua-dua model ini; Road dan Rain yang mana dipertingkatkan lagi dengan ABS dan ASC (Automatic Stability Control – Kawalan Kestabilan Automatik) BMW sebagai kelengkapan standard.

Anda perlukan sesuatu yang lebih istimewa? motosikal F 750 GS dan F 850 GS boleh dilengkapkan dengan kelengkapan tambahan pilihan, seperti mod tunggangan Pro dan seterusnya, mod tunggangan tambahan ‘Dynamic’, ‘Enduro’, dan ‘Enduro Pro’. Ianya didatangkan bersama Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC – Dynamic Traction Control) BMW dan ABS Pro.

Merumahkan segala bahagian enjin dan elektroniknya itu adalah kerangka ‘steel bridge‘ serba baru yang tahan lasak dengan binaan ‘monocoque‘ yang bukan sahaja melindungi segala bahagiannya tetapi juga membolehkan kejituan penunggangan yang lebih hebat. Mempertingkatkan lagi kebolehtunggangannya adalah sepasang fork teleskopik terbalik dengan lengan ayun sisi berganda aluminium yang memberikannya perwatakan menunggang yang dinamik.

Ingin mempertingkatkan lagi motosikal F 750 GS dan F 850 GS yang bakal anda miliki nanti? BMW Motorrad juga akan menawarkan satu rangkaian kelengkapan tambahan pilihan seperti paparan TFT berwarna penuh 6.5 inci lengkap dengan Connectivity, fungsi panggilan kecemasan pintar, ‘Keyless Ride’, ‘Gear shift assistant Pro’,’Dynamic ESA’, eCall, Connectivity, dan pelbagai lagi kelengkapan tambahan pilihan.

Motosikal BMW F 750 GS dan F 850 GS 2018 terbaru ini akan boleh didapati di Malaysia pada tahun hadapan. Untuk harganya pula, kami yakin BMW Motorrad Malaysia akan mengambil tindakan yang sepatutnya dan tampil dengan tawaran yang terbaik bagi membolehkan segmen motosikal di Malaysia terus berkembang dengan lebih pesat lagi.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.