MotoGP: Marc Marquez Dinobatkan Sebagai Juara Dunia MotoGP 2017!

 

  • Pusingan terakhir MotoGP 2017 di Valencia berakhir dengan pertabalan Marc Marquez sebagai Juara Dunia MotoGP 2017!
  • Perlumbaan yang penuh dengan debaran itu menyaksikan Dani Pedrosa (Repsol Honda) menggondol kemenangan diekori rapat oleh Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) yang mendapat tempat ke-dua.
  • Andrea Dovizioso (Ducati Team) hilang kawalan jentera Ducati Desmosedici GP17-nya sewaktu perlumbaan itu berbaki enam pusingan yang mana ianya telah menamatkan usaha kejuaraan 2017-nya.

 

Tiada siapa yang mampu meneka penamat bagi perlumbaan terakhir musim ini. Dari saat lampu merah dipadamkan sehinggalah ke penghujungnya sewaktu bendera penamat dikibarkan, perlumbaan terakhir MotoGP bagi musim 2017 di Valencia telah mempersembahkan kepada kita begitu banyak drama, aksi, dan keseronokan.

Keputusan akhirnya bagaimanapun boleh dijangka. Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda telah memenangi takhta Kejohanan Dunia MotoGP yang keempatnya. Marc Marquez kini adalah penunggang termuda yang telah memenangi empat kejuaraan dunia MotoGP dan juga enam kejohanan dunia utama.

Perlumbaan ini bagaimana pun telah dimenangi oleh teman sepasukannya, Dani Pedrosa. selepas permulaan yang hebat yang telah melonjakkannya ke tempat ke-tiga, Pedrosa mengekalkan kedudukannya dan bertindak sebagai penampan bagi Marquez yang berada di hadapannya dan juga Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) yang telah mendahului sebahagian besar perlumbaan itu.


Marquez hanya mampu mendahului perlumbaan sewaktu beberapa pusingan yang pertama sebelum tempat teratas itu dirampas oleh Zarco. Dengan baki tujuh pusingan, Marquez cuba untuk memintas sewaktu memasuki Selekoh 1 tetapi hampir hilang kawalan motosikalnya. Yang amat menakjubkan, Marquez sekali lagi mengingkari hukum graviti dan dapat mengawal balik jenteranya walaupun setelah tersasar masuk ke perangkap pasir dan meneruskan perlumbaannya di tempat ke-lima di belakang kedua-dua penunggang Ducati.

Lain pula ceritanya bagi kedua-dua penunggang Ducati itu. Dari permulaan perlumbaan lagi, Jorge Lorenzo telah mengekalkan kedudukannya di tempat ke-empat di belakang Dani Pedrosa. Andrea Dovizioso telah mencuba dengan sebaik yang mungkin dan telah berjaya merapati Lorenzo dan kini di kedudukan P6. Apabila tiada peningkatan ketara yang dapat di buat oleh Dovizioso, arahan “Suggested Mapping 8” yang cukup terkenal itu telah dikeluarkan untuk Lorenzo bagi membolehkan Dovi memintasnya.

Pesanan ini telah disampaikan berkali-kali kepada Lorenzo menggunakan papan pit dan paparan digital di atas motosikalnya namun ianya tidak berkesan. Berbakikan enam pusingan, Lorenzo telah hilang kawalan jentera Ducati Desmosedici GP17-nya. Lebih mengjutkan lagi apabila Dovizioso pula yang telah terbabas beberapa selekoh selepas Lorenzo. Tiada siapa yang dapat menjangkakan turutan kejadian ini untuk berlaku.

Tahniah diucapkan kepada Marc Marquez diatas kejayaannya merangkul kejuaraan dunia MotoGP 2017. Ini telah membuktikan betapa dominannya pasukan Repsol Honda ini semasa bersaing dengan pengeluar motosikal utama dunia yang lain. Sudah pasti ketika tibanya musim 2018 nanti, ianya pasti akan menjadi lebih menarik lagi.

Tamat sudah musim MotoGP 2017!

 

Sumber imej: MotoGP

 

 

Leave a Reply