Motosikal KTM 790 Duke 2018 Dilancarkan Di EICMA 2017 – “The Scalpel”

 

 

  • Tirai di sebalik motosikal KTM 790 Duke 2018 telah disingkap pada hari ini sewaktu pertunjukan EICMA 2017 di Milan, Itali.
  • Dengan nama gelaran “The Scalpel”, enjin engkol 270-darjah dengan 799cc selari berkembar itu menjana sejumlah 105hp dan 85.4Nm tork maksima.
  • Ciri-ciri hebat yang lain termasuk kawalan cengkaman sensitif condong, ABS menyelekoh, kawalan mulaan, ‘auto-blipper‘, quickshifter (untuk pertukaran ke gear lebih tinggi mahu pun gear yang lebih rendah, klac ‘slipper‘, dan bermacam-macam lagi.

 

Motosikal yang dinanti-nantikan para peminat KTM dan juga oleh penggemar permotoran secara amnya telah pun diperkenalkan, tuan-tuan dan puan-puan. KTM 790 Duke 2018 serba baru telah dilancarkan secara rasmi hari ini bersempena dengan pertunjukan motosikal antarabangsa EICMA di Milan, Itali. Digelar “The Scalpel”, motosikal ini merupakan saudara motosikal KTM 1290 Super Duke R 2017 yang lebih lincah dan tangkas.

Dengan rekabentuk radikal serba baru yang mengambil inspirasi daripada motosikal 1290 Super Duke R, motosikal 790 Duke terbaru ini terletak di tengah-tengah, di antara saudaranya yang lebih besar itu, dan saudaranya yang lebih kecil, motosikal ala-supermoto KTM 390 Duke 2017.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal KTM 390 Duke 2017, TEKAN SINI.

Tentang kuasa kudanya, enjin engkol 270-darjah dengan 799cc selari berkembar ini menjana sejumlah 105hp dan 85.4Nm tork maksima. Dengan rekabentuknya yang kompak yang disepadukan ke dalam casis serba barunya itu, KTM mendakwa yang motosikal 790 Duke terbaru mereka itu sebagai salah sebuah motosikal ‘naked‘ kelas pertengahan paling ringan dalam kategorinya, dengan beratnya pada 190kg diisi penuh dan “Ready to Race”. Ini menjanjikan tahap prestasi yang mengagumkan dari sebuah motosikal yang agak kompak ini.

Enjin kelas pertengahan serba baru rekaan KTM ini juga dikatakan dapat membekalkan kuasa dan tork yang secukupnya dari jangkauan rendah hingga sederhana, memberikannya jumlah pemecutan yang mengujakan tanpa ia terlalu menyesakkan penunggang yang masih lagi baru dalam kancah permotosikalan. Dan jika sekali pun timbul sebarang masalah, kelengkapan elektroniknya akan mengambil alih dan membantu menyelamatkan keadaan.

Ciri-ciri seperti kawalan cengkaman sensitif condong, ABS menyelekoh, kawalan mulaan (YA, TUAN-TUAN. KAWALAN MULAAN), ‘auto-blipper‘, quickshifter (untuk penukaran ke gear yang lebih tinggi mahu puh yang lebih rendah), klac ‘slipper‘, dan pelbagai lagi perincian yang ada menjadikan motosikal KTM 790 Duke 2018 ini antara motosikal naked kelas pertengahan tercanggih yang pernah dibina untuk pengeluaran awam. Pakej suspensi keseluruhan WP Suspension juga membantu dengan pengendalian hebat motosikal 790 Duke ini, memastikan para penunggang kekal berada di atas jalan raya walaupun di selekoh yang paling tajam.

Motosikal 790 Duke ini juga dilengkapi dengan IMU (Inertial Measurement Unit) yang membantu dalam memperbetulkan jumlah cengkaman sekali pun ketika motosikal ini menyereng rapat di selekoh bagi memastikan cengkaman yang sesuai sentiasa mencukupi untuk penunggangnya. Ini menjadikan motosikal 790 Duke ini motosikal naked kelas pertengahan yang pertama dengan spesifikasi ini.

Untuk casisnya pula, motosikal KTM 790 Duke 2018 ini didatangkan dengan pakej yang kompak yang dikatakan mempunyai kestabilan dan pengendalian yang jauh lebih hebat. Kami mempunyai pengalaman mengendalikan motosikal 1290 Super Duke R dan KTM 390 Duke, tetapi jika dilihat pada helaian spesifikasinya, kami tidak akan berasa hairan jika 790 Duke ini lebih hebat lagi. JAUH LEBIH HEBAT LAGI.

Nampaknya motosikal KTM 790 Duke ini akan memberikan saingan yang hebat kepada sesiapa sahaja dan ianya perlu diberikan perhatian oleh pesaing-pesaingnya. Sekali pun rupa paras keseluruhan pakej tampak memberangsangkan, KTM masih perlu menentukan harga yang tepat untuk motosikal ini bagi memastikan ia menjadi pilihan utama.

Motosikal 790 Duke ini adalah bukti yang motosikal kelas pertengahan akan terus kekal dalam industri ini dan mereka akan membuktikan keunggulan mereka berbanding motosikal yang lain.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]