- PETRONAS dan Litar Antarabangsa Sepang (Sepang International Circuit – SIC) telah berganding bahu untuk menunbuhkan pasukan PETRONAS Sprinta Racing bagi membangunkan lagi masa depan sukan permotoran dua roda di rantau ini.
- PETRONAS Talent Development Programme (TDP) dan SIC Talent Development Programme (SICTD) telah bekerjasama bagi membantu dalam usaha berterusan untuk memupuk bakat muda.
- SIC akan bertanggungjawab dalam menguruskan pasukan serta para penunggangnya manakala PETRONAS akan berusaha untuk mengembangkan imej jenama berkenaan di arena perlumbaan motosikal antarabangsa.
Baru-baru ini telah diumumkan bahawa PETRONAS dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah memeterai satu perjanjian kerjasama strategik yang bersejarah dengan penubuhan sebuah pasukan perlumbaan yang baru yang dinamakan PETRONAS Sprinta Racing.
Dengan rancangan untuk membangunkan lagi masa depan sukan permotoran dua roda di Malaysia dan juga di negara ASEAN yang lain, PETRONAS Talent Development Programme (TDP) dan SIC Talent Developmnt Programme (SICTD) telah bersatu tenaga untuk membantu dengan usaha yang berterusan dalam memupuk bakat-bakat muda.
Ini termasuklah siri perlumbaan bermula dari Malaysian Cub Prix, Asia Road Racing Championship (ARRC), dan Asia Talent Cup dengan harapan yang mereka akan maju ke kejohanan dunia Moto3 dan Moto2. Melalui program ini, mereka juga berharap dapat memupuk penunggang tempatan pertama yang akan menyertai siri perlumbaan dua roda di peringkat tertinggi, MotoGP.
Kerjasama di antara dua syarikat gergasi ini akan ditumpukan kepada kelebihan masing-masing. SIC akan bertanggungjawab dalam menguruskan pasukan serta penunggangnya. PETRONAS pula akan berusaha untuk mengembangkan imej jenama ini di arena MotoGP. Langkah yang diambil ini juga diharap dapat mempromosikan jenama minyak pelincir mereka iaitu PETRONAS Sprinta yang mempunyai kehadiran yang semakin dirasai di negara-negara luar seperti
India, China, dan Vietnam.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai minyak pelincir PETRONAS Sprinta, TEKAN SINI.
Satu lagi berita utama adalah penunggang harapan negara, Hafizh Syahrin, akan meneruskan kerjaya Moto2-nya bersama dengan pasukan yang baru ditubuhkan di atas kerjasama SIC dan PETRONAS ini. Penunggang-penunggang yang lain yang akan menyertai pasukan ini adalah Adam Norrodin dan Ayumi Sasaki yang akan meneruskan kerjaya mereka dalam kejohanan dunia Moto3 pada tahun 2018. Usaha mereka juga akan dibantu oleh seorang bekas penunggang Grand Prix, Johan Stigefelt.
Menurut Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir, Naib Presiden, Marketing Downstream, PETRONAS, “PETRONAS dengan sukacitanya mengumumkan projek Moto3 dan Moto2 yang baru ini bersama dengan Sepang International Circuit (SIC).”
“Kami percaya dengan kerjasama ini ianya satu kemajuan semulajadi dalam komitmen jangka panjang kami dalam pembangunan bakat kerana ianya membekalkan sebuah platform yang boleh dikekalkan buat para penunggang untuk maju dari kejohanan tempatan ke kejohanan antarabangsa melalui SIC yang mempunyai sumber dan pengalaman dalam menguruskan sebuah pasukan perlumbaan.”
Tan Sri Azman Yahya, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang telah menambah, “Kami di SIC berbesar hati dengan kerjasama strategik ini. PETRONAS dan SIC berkongsi matlamat yang sama dalam membangunkan bakat sukan permotoran. Ianya masa yang amat tepat bagi kedua-dua syarikat ini untuk bergabung tenaga dalam usaha ini dan kami berasa amat gembira yang PETRONAS sejajar dengan visi kami dalam pembangunan sukan permotoran di Malaysia.”
“SIC akan memainkan peranan yang penting dalam menguruskan dan mengawal selia operasi bagi kedua-dua pasukan kejohanan Moto2 dan Moto3. Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan teknikal kami, kami telah mencipta sebuah ekosistem yang akan bertindak sebagai sistem sokongan buat para penunggang di dalam dan luar litar perlumbaan. Kami berharap yang kerjasama bersama PETRONAS ini akan membuka ruang buat bakat sukan permotoran masa depan yang ingin memajukan kerjaya mereka dalam perlumbaan kejohanan dunia.”