Sebab-Sebab Utama Mengapa Art of Speed Malaysia 2017 MENGAGUMKAN

 

  • Festival art of Speed Malaysia 2017 menyaksikan jumlah hadirin yang besar sekali yang datang bagi menunjukkan sokongan, perasaan cinta serta dedikasi mereka terhadap kancah ‘Ol-Skool’ dan ‘Kustom Kulture’ di Malaysia.
  • Acara tahun ini yang telah berlangsung pada hujung minggu lalu ternyata lebih besar dan meriah dari sebelum ini dengan penyertaan dari para pengeluar ternama serta garaj-garaj tempatan yang mempamerkan jentera masing-masing yang menakjubkan tidak kira dari motosikal yang serba baru hinggalah jentera pengkhususan satu dalam sejuta.
  • Begitu ramai jemputan khas yang telah menghadiri AOS 2017 ini dari negara-negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun dan banyak lagi.

Arena pengkhususan bagi apa sahaja yang beroda tidak kiralah motosikal, kereta, basikal malah papan luncur telah pun berkembang dengan pesat sekali dalam negara kita. Jika sebelum ini ianya satu segmen kecil dalam industri permotoran yang senantiasa membangun, satu perhimpunan secara khususnya telah meraih begitu banyak perhatian serta pengikut yang tegar yang bukan sahaja di dalam negara, malah dari negara luar juga. Ianya tidak lain dan tidak bukan festival ‘Ol-Skool’ dan ‘Kustom Kulture’ tahunan Art of Speed Malaysia.

Apa yang bermula sebagai satu himpunan kecil bagi penggemar permotoran di tempat letak kereta di pusat membeli belah telah berkembang menjadi satu perhimpunan tahunan besar-besaran, sebegitu besar hinggakan pengasas serta penganjurnya, Encik Asep Ahmad Sastrawidjaja atau lebih dikenali sebagai ‘Asep’ perlu mencari tapak yang lebih besar bagi memuatkan ke semua mereka.

Sejak beberapa tahun yang lalu, festival tahunan Art of Speed Malaysia telah diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) yang luas, berdekatan dengan Putrajaya. Pada hujung minggu ini festival itu telah mengambil alih bukan sahaja dewan utama di MAEPS, malah sebuah dewan tambahan serta ruangan luar yang merangkumi kawasan seluas lapan ekar. Ruangan sebesar hampir 350,000 kaki persegi didedikasikan untuk segalanya yang beroda, tidak kira dari kereta, motosikal, sesi tunggang uji, pertunjukan lagak ngeri dan sebagainya!

Para pengeluar ternama juga turut mengambil kesempatan festival pengkhususan tahunan ini bagi mempamerkan serta melancarkan motosikal terkini mereka, mempamerkan barangan keluaran masing-masing, serta mendirikan tapak yang amat menonjol yang jarang dapat dilihat melainkan di acara seperti AOS ini. Triumph Motorcycles Malaysia telah memenangi penghormatan yang hebat anugerah “Best Booth” bagi kawasan pameran pelbagai tingkat mereka yang juga telah mempamerkan salah sebuah model terkini 2017 mereka, motosikal Bonneville Bobber.

Ducati Malaysia pula telah mengambil peluang keemasan ini bagi melancarkan tawaran Ducati Scrambler terbaru mereka iaitu Ducati Scrambler Cafe Racer dan juga Ducati Scrambler Desert Sled 2017.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kedua-dua model terbaru Ducati Scrambler ini, TEKAN SINI.

Kawasaki Motors Malaysia juga turut mengambil bahagian dalam festival ini dengan mempamerkan ke semua motosikal mereka yang hebat namun, bagi memberi sedikit kelainan berbanding dengan pengeluar-pengeluar yang lain, mereka telah menganjurkan satu sesi tunggang uji yang istimewa yang mempersembahkan ke semua model terbaru dari Kawasaki seperti Kawasaki Z900 ABS,Z650 ABS Ninja 650 ABS dan Versys-X 250.

Bagi Boon Siew Honda pula, mereka telah memutuskan, untuk tahun ini, mereka akan melibatkan diri dalam dunia pengkhususan secara besar-besaran dengan mengadakan satu pertandingan membina motosikal jemputan mereka sendiri di mana sejumlah lima pembina motosikal jemputan telah diberi peluang untuk merealisasikan idea gila serta inspirisa mereka di atas dua buah motosikal Honda yang berbeza, Honda EX5 Fi dan Honda MSX 125. Mereka juga turut membuat pelancaran rasmi bagi motosikal terbaru mereka, Honda Rebel 500 2017!

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Honda Rebel 500 2017, TEKAN SINI.

Para pembina dari Legend Racing Garage, District Shop & Gallery, CLM Custom Works, Backwheel Bitches (BWB) serta pembina kelima dari Shawn Seelan Creations telah mempamerkan kreativiti mereka dalam menghasilkan motosikal Honda EX5 Fi dan Honda MSX 125 yang dikhususkan sepenuhnya paling menawan serta gila-gila.

https://www.facebook.com/HondaMotorcyclesMalaysiaBoonSiewHonda/videos/1310917529005454/

Art of Speed Malaysia 2017 ini mungkin salah sebuah acara terbesar berkaitan dengan permotoran di negara kita di mana kebanyakan tetamu jemputan telah menghadiri perhimpunan ini bersama dengan kenderaan pengkhususan yang telah dibuat khas dari negara-negara seperti Amerika Syarikat serta Jepun. Pada tahun ini, kita menyaksikan tetamu undangan istimewa dari Mooneyes Japan dan Hot Wheels yang hadir memberikan sokongan untuk Art of Speed Malaysia 2017.

Selain daripada nama-nama besar dalam industri permotoran, AOS2017 ini cukup istimewa dalam cara tersendirinya memberi penghormatan kepada anak-anak watan yang bukan sahaja nama-nama yang biasa didengari dalam medan ‘Ol-Skool’ dan ‘Kustom Kulture’ malah telah membantu mereka melonjakkan kemasyhuran festival ini hingga ke tahap terkini.

10 pembina persendirian yang berbeza telah dijemput bagi memperagakan binaan dua roda terbaik mereka yang mana ianya tersergam dengan megah di “Moto Circus” tahun ini. Mereka yang bertanggungjawab untuk ciptaan yang mempersonakan ini adalah Beard Brothers Cycle (Singapura), Big Cat Motor Art (Ampang,KL), Chopper Ministry (Bangi, Selangor), Garaj Besi (Johor Bahru, Johor), Gimme Shelter (Petaling Jaya, Selangor), Kerkus Motorworks (KL), Rotten Motorcycles (Baganland, Pulau Pinang), Rachun Motorcycles (Kota Bharu, Kelantan), Abah & Sons Motorworks (Pulau Pinang), dan pemenang bagi pertandingan pembinaan motosikal AOS tahun ini, Rusty Factory (Ipoh, Perak).

https://youtu.be/5r0npuZcd9o

Bagi menghangatkan lagi suasana, persembahan istimewa dari kugiran-kugiran ternama tempatan seperti Oh Chentaku merancakkan lagi hari pertama AOS 2017. Hari kedua pula telah menyaksikan kemunculan teramat istimewa dari kugiran rock & roll dari jepun, Johnny Pandora dan persembahan daripada kugiran ternama tempatan, Hujan, sebagai penutup Art of Speed Malaysia untuk tahun 2017.

Tahun ini juga telah diserikan lagi dengan beberapa sesi cabutan bertuah yang telah dilaksanakan pada kedua-dua hari festival ini berlangsung. Bagi menghapuskan elemen perjudian dalam cabutan ini, tiga orang yang terpilih akan diberi tugasan dimana pemenangnya ditentukan oleh para hadirin berdasarkan sorakan.

Seorang pemenang bertuah membawa pulang motosikal CMC XY400 yang baru pada hari Sabtu manakala pada hari Ahadnya pula, seorang lagi pemenang telah membawa pulang hadiah utama tahun ini, motosikal dragster RXZ dwi-enjin digelar “RXZ Twinboss”. Harley Davidson juga turut memeriahkan lagi acara dengan mengadakan cabutan bertuah mereka sendiri dimana motosikal Harley Davidson Street 750 yang baru telah menjadi hadiah utama mereka.

Keseluruhannya, ianya merupakan salah sebuah perhimpunan yang terbaik (serta terbesar) yang pernah dianjurkan di tanah air kita ini dengan pelbagai pilihan kenderaan yang berbeza. Jentera yang mempersona, di samping sahabat yang sekepala, dengan aktiviti yang menyeronokkan dan kehadiran yang memberangsangkan. Festival Art of Speed Malaysia semakin gagah dari tahun ke tahun yang berikutnya. Semoga festival tahun hadapan lebih gah dan hebat lagi hendaknya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]