Honda Rebel 500 2017 Dilancarkan Secara Rasmi Di Art of Speed Malaysia 2017 – RM31,798!

 

  • Boon Siew Honda dengan rasminya telah mengumumkan bahawa motosikal terkini mereka, Honda Rebel 500 2017, akan tersedia sebagai sebahagian daripada rangkaian motosikal ‘gayahidup’ di Malaysia.
  • Pengumuman rasmi ini telah dibuat semalam bersempena dengan festival Art of Speed Malaysia 2017 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Parks Serdang (MAEPS).
  • Motosikal serba baru Rebel 500 “Bobber” ini ditetapkan harganya pada RM31,798.94 (asas beserta GST) bagi varian dwi-saluran ABS.


Boon Siew Honda telah secara rasminya mengumumkan bahawa motosikal terkini Honda Rebel 500 2017 mereka akan tiba di Malaysia. Pelancarannya telah pun dirasmikan semalam bersempena dengan festival Art of Speed Malaysia 2017 yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Meneraju ke hadapan sebagai motosikal terkini Boon Siew Honda dalam rangkaian motosikal gayahidup, Honda Rebel 500 terbaru ini melambangkan kebebasan, gaya serta kebolehgunaan keseluruhan bagi mereka yang mencari-cari sesuatu yang lain daripada yang lain dalam pasaran motosikal semasa di dalam negara kita. Motosikal Rebel serba baru ini merupakan senjata utama Honda dalam usaha mereka menarik minat golongan yang lebih muda untuk membakar semangat dua-roda mereka dengan sebuah pilihan cruiser yang sempurna pada harga yang berpatutan.

“Motosikal Honda Rebel yang telah lama dinantikan ini akan boleh didapati di Malaysia bermula akhir bulan Ogos 2017. Model ini telah menerima maklumbalas yang mengagumkan dari negara-negara lain yang telah melancarkannya lebih awal. Di sini, kami pamerkan kepada anda aksesori-aksesori H2 yang dilengkapkan pada Honda Rebel di mana ia meningkatkan lagi pengalaman keseluruhan pengguna.” ujar Dato Sri Wira Tan Hui Jing, Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Jualan Boon Siew Honda di tapak Honda.

Dijana oleh enjin dwi silinder selari 471cc, motosikal Rebel ini menjana sehingga 45.6hp pada 8,500rpm dan 43.2Nm tork pada 7,000rpm, iaitu dalam jangkauan yang sama seperti saudara yang lebih ‘sporty‘, Honda CBR500R. Ini menjadikannya sebuah pilihan yang sesuai bagi mereka yang ingin memiliki cruiser middleweight pertama mereka dengan kuasa yang mencukupi dan pada masa yang sama, tidak membebankan kewangan mereka.

Kesemua kuasa itu didorong ke bahagian roda belakangnya melalui transmisi manual enam kelajuan dengan pacuan rantai terakhir untuk membekalkan agihan kuasa yang maksimum dengan cekap. Keseluruhan kuasa serta tork itu tersemat di sebalik sebuah cruiser yang amat bergaya yang di mata sesetengah pihak tampak seakan sebuah “Bobber” yang kini dengan pantas menjadi sebuah penentu aliran gaya dalam industri permotosikalan bagi tahun 2017.

Kami telah pun menguji motosikal Rebel 500 sebelum ini ketika satu sesi tunggang uji khas untuk media beberapa bulan yang lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, kami dapat sahkan bahawa motosikal Honda Rebel 500 2017 serba baru ini akan boleh didapati bermula bulan Ogos 2017.

Sebelum ini kami mengagak yang motosikal Honda Rebel 500 ini akan dinilai pada harga sekitar RM35,000, namun Boon Siew Honda telah mengejutkan orang ramai apabila mereka mengumumkan bahawa harga yang akan ditetapkan untuk Honda Rebel 500 2017 hanyalah pada RM31,789.94 (asas bserta GST). Harga yang ditetapkan itu untuk sebuah cruiser atau “Bobber” yang amat bergaya dengan pakej sistem ABS dwi-saluran.

Tindakan yang bijak dari Boon Siew Honda.

 

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply