Art of Speed Kota Bharu 2019 Tiba Di Kelantan!

Perhatian buat semua penggemar motosikal di pantai timur! Pesta Art of Speed Kota Bharu 2019 telah pun tiba di negeri Cik Siti Wan Kembang. Acara yang meraikan seni budaya automotif ini akan diadakan pada hari ini dan juga esok (22 dan 23 Mac 2019) seiring dengan Festival Seni dan Kebudayaan Kelantan Volume 2 2019.

Keraian seni yang berlangsung selama dua hari ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, di mana ianya akan dikendalikan oleh Art of Speed Malaysia, 405 Industries, dan Rachun Motor Club. Mereka yang berminat dengan motosikal buatan khas, makanan dan minuman (siapa yang tidak suka, kan?) beserta hiburan muzik secara langsung boleh berkunjung dan bersuka ria.

Jentera buatan khas, “White Angel“, yang telah dibina oleh Muhammad Khalid Musa dari The Rusty Factory di Ipoh turut membuat kemunculan istimewa di #AOSKB19. Motosikal BMW R75/6 buatan khas yang menakjubkan ini telah memenangi kedua-dua kategori pilihan panel juri dan orang ramai dalam pertandingan sulungnya. Karya seni beroda ini turut merangkul gelaran juara dalam kategori “New Frame Only” pada bulan lepas sewaktu acara berprestij, “Bangkok Motorbike Festival 2019”!

Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan telah disediakan, dan ianya akan berterusan pada hari esok (23 Mac 2019). Salah sebuah acara yang telah dijadualkan esok adalah “March of the Mods” oleh Kelantan Mods Gengs, serta pelbagai barangan dan koleksi yang berharga akan dijual. Jadi, jangan berlengah lagi. Kunjungilah Stadium Sultan Muhammad IV sekarang!

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.